KUALA LUMPUR – Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) hari ini telah menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan denda dan beberapa hukuman yang dibuat pada 24 Jun lalu kepada Selangor FC susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.

MFL dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertimbangan semula itu dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Maka berikutan itu Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan mengurangkan denda daripada RM100,000 ke RM60,000 yang perlu dijelaskan oleh Selangor FC.

“Bagaimanapun bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan,” katanya.

Tambah MFL lagi, pihaknya juga akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

Justeru MFL juga membatalkan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

“Bagaimanapun jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama maka kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas dan keras boleh dikenakan.

“Selain itu, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang dikenakan sebelum ini juga dibatalkan dan penonton dibenarkan untuk menghadiri perlawanan tersebut.

“Manakala Selangor dibenarkan untuk membuat rayuan dalam tempoh selama tiga hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia,” tegs MFL lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here