Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya mengelak daripada menyertai perhimpunan aman ‘Rakyat Lawan Anwar’ yang dirancang diadakan di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penganjur tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah iaitu Perbadanan Putrajaya untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

“Untuk makluman semua, berkenaan perhimpunan kegagalan pemerintah bertajuk Rakyat Lawan Anwar, polis sahkan kita menerima surat pemberitahuan penganjur mengenai perhimpunan pada Sabtu ini di tempat lot letak kereta hadapan Kompleks Sri Perdana, Putrajaya dijangkakan jam 4 petang.

“Namun, dia tertakluk kepada beberapa syarat terutamanya wajib mendapat kebenaran tuan tanah iaitu Perbadanan Putrajaya (PPJ) yang mana pihak berkuasa itu tidak membenarkan himpunan itu diadakan di situ kerana lokasinya tidak sesuai.

“Oleh sebab itu, kami (polis) menasihatkan penganjur berkenaan agar tidak meneruskan rancangan untuk mengadakan himpunan tersebut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut Rusdi, polis telah mengesan rakaman video yang tular bertajuk Rakyat Lawan Anwar yang mengajak orang ramai berhimpunan pada Sabtu ini.

Tambah beliau, setakat ini pihaknya telah menerima 85 laporan berhubung video berkenaan.

Beliau berkata, polis membuka kertas dan menyiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perhidmatan rangkaian.

Katanya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 jika penganjur melanggar nasihat perhimpunan yang tidak dibenarkan polis dan pemilik tanah.

Jelas Rusdi, polis telah memanggil dan mengadakan perjumpaan dengan penganjur perhimpunan itu sebanyak dua kali. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here