Sunday, June 30, 2024
Home Utama Pakaian diperkenalkan tidak digunakan untuk perbarisan Olimpik Paris – Hannah

Pakaian diperkenalkan tidak digunakan untuk perbarisan Olimpik Paris – Hannah

Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Pakaian kontinjen Malaysia yang diperkenalkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baru-baru ini tidak akan digunakan pada perbarisan Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai pada 26 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata terdapat set pakaian rasmi lain bagi acara berkenaan selain menegaskan supaya tiada perbandingan dibuat berhubung pendekatan kepimpinannya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan bekas menteri Khairy Jamaluddin, memandangkan semua menteri mempunyai cara tersendiri untuk mengemudi kementerian.

“Masa zaman beliau (Khairy) itu cara beliau dan setiap pemimpin mempunyai cara berlainan. Saya hormati MOM sebagai pemegang taruh.

“Baca komen (ada) ingatkan ini baju perbarisan (namun sebenarnya) sudah ada (lain) untuk atlet.

“Kami dah maklumkan pandangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada (Presiden MOM) Mohamad Norza.

“Kita perlu hormati MOM dan kontrak penajaan mereka dengan Yonex dan saya serahkan ini kepada Mohamad Norza dan percaya beliau mampu untuk selesaikan (supaya) bila ke Paris kita berjalan (sebagai) satu pasukan (dan) orang tak nampak ini MOM, ini KBS (sebab) kita semua bawa nama Malaysia,” katanya selepas melancarkan Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024 di Lalaport, Bukit Bintang City Centre (BBCC) di sini hari ini.

Khairy yang memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, berkongsi menerusi audio siar (podcast) bersama Shahril Hamdan mengenai peranannya dalam penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, semalam.

Hannah turut menegaskan tiada keperluan menaikkan Timbalan CDM Datuk Nicol Ann David kepada Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke temasya tersebut, memandangkan pemegang jawatan itu sekarang Datuk Hamidin Mohd Amin seorang yang berkaliber dalam kepimpinannya.

“Komen media sosial, kalau ada satu masalah, cara dan cadangan gugurkan orang tersebut ini bukan cara betul, sebenarnya kena kenal pasti punca masalah tersebut, dalam kes ini bukan punca Hamidin. Bagi saya Hamidin mendengar (setiap masalah dihadapi) dan itu penting,” katanya.

Selain itu, Hannah turut menggesa pihak polis supaya segera mengeluarkan hasil siasatan membabitkan kejadian simbahan asid terhadap pemain bola sepak Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim.

“Mengenai titah Sultan Selangor, saya rasa ini berkaitan dengan kes Faisal Halim. Selagi polis belum memaklumkan mengenai hasil siasatan mereka, bukan sahaja Sultan Selangor, saya telah dengar ramai yang telah berjumpa dengan saya, peminat-peminat sukan juga, mereka mahu keadilan, mereka mahu tahu perkembangan hasil siasatan.

“Itu sebab saya nak menggesa pihak polis untuk segerakan, maklumkan kepada orang ramai supaya kes ini kita boleh pergi ke peringkat seterusnya.

“Kalau kita masih tidak ada hasil siasatan itu, orang (ramai) tak boleh ‘move on’ kerana Faisal Halim merupakan aset negara,” katanya sambil berharap proses rayuan Selangor FC berjalan lancar.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta ahli Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) khususnya Hamidin, berhubung denda dikenakan terhadap Selangor FC kerana ketidakhadiran pasukan itu ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lepas.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda amat murka dengan keputusan terbaharu MFL itu, yang dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here