Kredit FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pengurusan syarikat-syarikat di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) perlu menterjemah visi dan dasar kerajaan secara menyeluruh didasari dengan mandat yang diberikan sejak penubuhannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) adalah di bawah pemilikan YPB dan ini adalah sebahagian daripada strategi pemusatan institusi pelaburan bumiputera melalui YPB.

“Saya tekankan kepentingan pengurusan syarikat-syarikat di bawah YPB agar menterjemah visi dan dasar kerajaan secara menyeluruh.

“Selain pulangan kewangan kepada pelabur, penting bagi diterapkan inisiatif pembangunan masyarakat berkaitan ilmu pengurusan kewangan, keusahawanan dan inovasi.

“Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu menjadi peneraju dalam menyokong usaha kerajaan terkait hala tuju dan isu seperti ekonomi hijau, pemodenan industri pertanian dan gaji yang setimpal,” kata beliau dalam catatan di laman X hari ini.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB Bilangan 1 Tahun 2024 dan ia mempunyai peranan penting dalam agenda pembangunan bumiputera melalui kumpulan syarikat di bawah PNB, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Tun Abdul Razak. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here