lakaran suspek lelaki menerusi rakaman CCTV yang dikongsi polis untuk membantu siasatan ancaman bom di bangunan MOTAC, Putrajaya dalam sidang media di IPD Brickfields hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menghantar bungkusan berisi objek menyerupai bahan letupan bom ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek memakai pelitup muka itu dirakam di pejabat sebuah syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor pada hari sama bungkusan itu dikirim ke pejabat Datuk Seri Tiong King Sing.

Katanya, suspek lelaki itu memakai baju berwarna merah dan jaket hitam serta penutup kepala berwarna hitam.

“Hasil siasatan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya juga mendapati suspek melakukan proses penghantaran bungkusan berkenaan dengan menggunakan identiti milik individu lain.

“Berdasarkan siasatan awal, kami mendapati individu asal yang identitinya digunakan itu tampil mengesahkan kepada polis bahawa dia tidak hadir ke pejabat penghantaran di Sungai Buloh dan tidak tahu menahu tentang sebarang urusan penghantaran barang semasa kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan dalam kes tersebut.

Pada 5 Jun lalu, bungkusan itu yang dihantar ke lobi di tingkat bawah kementerian tersebut dibawa naik oleh kakitangan MOTAC ke pejabat King Sing di tingkat 14.

Menurut Rusdi, beliau meminta syarikat penghantaran untuk mengarahkan pelanggan mereka membuka pelitup muka ketika melakukan penyerahan barangan bagi memudahkan pengecaman wajah.

“Langkah ini penting bagi membolehkan pihak polis mengenalpasti identiti mana-mana pelaku jenayah selain sentiasa menjalankan penyeliaan terhadap sistem rakaman kemera litar tertutup (CCTV),” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek dan kejadian terbabit diminta menyalurkannya dengan menghubung Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau pergi ke IPD Putrajaya atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here