KUALA LUMPUR – Lapan individu, termasuk dua wanita tempatan, yang disyaki memecah masuk rumah ahli perniagaan di Bukit Damansara, di sini, pada 31 Mei lalu dan melarikan barang bernilai RM7 juta ditahan dalam operasi di sekitar ibu kota dan Bangkok, Thailand pada 6,9 dan 14 Jun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan mendapati mangsa menyedari rumahnya di pecah masuk selepas mendapati bilik tidur utama dalam keadaan berselerak.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati sebanyak 30 utas jam tangan mewah pelbagai jenama, barang kemas dan wang tunai RM30,000 dianggarkan kira-kira RM7 juta lesap dalam kejadian tersebut.
“Menerusi siasatan ke atas CCTV milik jiran, polis berjaya mengesan suspek iaitu kereta sewa jenis Perodua Myvi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Rusdi, bertindak atas laporan pengadu dan maklumat CCTV, polis berjaya menjejaki dan menahan dua lelaki warga Amerika Latin berusia 20 dan 22 tahun pada 6 Jun lalu yang disyaki terbabit dalam jenayah tersebut.
Tambah beliau, tangkapan pertama dan berpandukan hasil soal siasat membawa kepada penahanan empat lagi suspek berusia 30 hingga 40 tahun termasuk wanita warga tempatan yang dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek Amerika Latin itu pada 9 Jun lalu.
“Hasil daripada tangkapan pertama dan kedua itu, polis berjaya melakukan satu lagi serbuan sebelum memberkas seorang lagi suspek wanita warga tempatan (pembeli emas) di sekitar ibu kota dan seorang lagi suspek lelaki Amerika Latin yang juga suspek kelapan kes oleh pihak Imigresen Thailand di Bangkok pada 14 Jun lalu.
“Hasil tangkapan kesemua suspek itu berjaya membawa polis kepada rampasan barang kes dipercayai dicuri dari kediaman ahli perniagaan terbabit iaitu sebanyak 29 jam tangan pelbagai jenama, 97 barang kemas (RM2.4 juta) dan wang tunai RM4,550 yang keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4 juta,” ujarnya.
Rusdi berkata, modus operandi sindiket Amerika Latin itu adalah mereka menggunakan kereta Myvi yang disewa dan memasuki kawasan perumahan elit untuk memantau setiap kediaman dan merancang melakukan jenayah pecah rumah.
“Sindiket kemudian mematikan CCTV dan alat penggera rumah dengan menggunakan peralatan khas dikenali sebagai ‘jammer’ sebelum rompak dan melarikan diri,” katanya.
Belau berkata, siasatan mendapati suspek Amerika Latin itu dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus dari negara jiran.
Sementara itu, Rusdi memberitahu, lima suspek akan dituduh termasuk suspek di Thailand di Mahkamah Jalan Duta esok (Jumaat) di Bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah berkumpulan dan dibaca bersama Seksyen 34 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette