Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berswafoto bersama barisan pelakon selepas menyaksikan Pementasan Teater Perdana Haji Murat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Pementasan teater ‘Haji Murat’ antara karya terbaik buat masyarakat terutama generasi muda untuk memahami perjuangan sejarah Islam secara lebih mendalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia kerana karya berasaskan novel pendek hasil nukilan Leo Tolstoy itu mengisahkan perjuangan wira islam ketika dihimpit oleh penjajah Rusia.

“Haji Murat ini satu karya besar tapi di antara karya Tolstoy yang paling kurang mahsyur walaupun ia berdasarkan sejarah yang benar.

“Saya fikir perlu sangat kita ajak anak-anak muda terutamanya untuk lihat kekuatan novel pendek yang dianggap sekali lagi di antara karya penceritaan terindah dan terbaik di dunia.

“Dia menceritakan tentang kekuatan roh perjuangan Islam. Kamu (penjajah) tekan, cuba hancurkan dia akan tumbuh semula semangatnya mementang kezaliman dan penjajahan Rusia.

“Saya masih belum mengerti mengapa di dunia Barat tidak begitu popular atau tidak dihebahkan (Haji Murat) tapi kita tidak perlu tunggu mereka biar kita hebahkan mudah-mudahan ada manfaat dan ini adalag karya sastera luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan sebelum pementasan Haji Murat di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam ini.

Ia turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Pementasan teater berdasarkan novel penting dan karya terakhir sasterawan ulung Rusia, Leo Tolstoy itu oleh penggiat sastera dunia, Dr Victor Pogadaev dan disunting Anwar Ridhwan sebelum diterbitkan DBP pada 2001.

Karya berkenaan yang mengangkat tema jihad dan perjuangan bangsa ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1851 melibatkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia yang pernah ditentanginya kerana ingin membalas dendam.

Sementara itu, Dr Anwar berkata, skrip drama pentas itu telah disiapkan pada 23 tahun lalu dan dapat dipentaskan sempena Ulang Tahun ke-68 DBP.

“Karya pada malam ini terasa kehebatan kerana novelnya mengandungi pemikiran luar biasa tentang perjuangan dan pengorbanan, yang berkuasa dan yang dikuasai, mengandungi emosi yang mengguris hati,” ujarnya.

Pementasan teater ‘Haji Murat’ akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 Jun di Wisma DBP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast