Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri), Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (dua kiri), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri (tiga kiri) dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (empat kiri) hadir pada sesi forum Menteri Perintis Kecemerlangan sempenan Minggu Latihan Antarabangsa 2024 anjuran HRD Corp di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, seramai empat Menteri kanan berkongsi pentas sama untuk saling bertukar pandangan mengenai dasar dan peranan di kementerian masing-masing ke arah mewujudkan ekonomi yang berdaya saing serta inovatif menerusi pendekatan bersepadu terhadap pembangunan bakat dan tenaga kerja.

Mereka ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Kesemua mereka berkongsi pandangan menerusi program Ministers Pioneering Excellence: Creating A Talent-Driven Economy – Government Policies and Practices yang dianjurkan Kesuma menerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Program malam tadi itu juga diadakan sempena penganjuran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, bermula 24 Jun lalu sehingga 30 Jun ini.

Sementara itu, dalam sesi tersebut, Tengku Zafrul berkongsi pandangan beliau dalam kerangka tajuk Integrasi Strategik Perdagangan, Pengurusan Bakat dan Dasar Industri; Melakar Pertumbuhan Ekonomi Melalui Pembangunan Modal Insan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada sesi forum Menteri Perintis Kecemerlangan sempenan Minggu Latihan Antarabangsa 2024 anjuran HRD Corp di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2024

Di bawah tajuk itu, beliau memberi penekanan berkenaan bagaimana kerajaan boleh menyelaraskan dasar perdagangan secara strategik, inisiatif pengurusan bakat dan strategi pembangunan industri untuk mengoptimumkan modal insan dan memacu pembangunan ekonomi yang mapan.

Menurut beliau, pengurusan bakat adalah sangat mustahak dan kritikal dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara berasaskan industri khususnya industri berteknologi tinggi yang kini menjadi tumpuan kebanyakan pelabur asing.

“Sebab itu kita juga bekerjasama erat dengan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara yang mana kita dapat lihat perkembangan positif bagaimana kita akan mendapat tenaga kerja atau bakat yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik tetapi turut memenuhi kehendak industri,” katanya.

Sementara itu, Zambry dalam sesi itu pula mengupas dari kerangka tajuk Membentuk Tenaga Kerja Esok: Dasar dan Bakat Pengajian Tinggi, Strategi Pengurusan Masa Depan Pekerjaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berucap pada sesi forum Menteri Perintis Kecemerlangan sempena Minggu Latihan Antarabangsa 2024 anjuran HRD Corp di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2024

Di bawah tajuk itu, beliau memberi penekanan kepada bagaimana kerajaan boleh bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi untuk bersedia menghadapi permintaan tenaga kerja atau bakat yang semakin berkembang.

“Di pihak KPT, kita memberi fokus kepada pendidikan era baharu yang mana tidak lagi bergantung kepada sistem yang berasaskan kampus semata-mata, tetapi turut memberi tumpuan kepada membangunkan pelajar dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan sektor pekerjaan masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy pula dalam sesinya mengupas mengenai isu tersebut dalam kerangka tajuk Memperkasa Wanita: Memacu Pertumbuhan Ekonomi Melalui Dasar Pengurusan Bakat Inklusif.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berucap pada sesi forum Menteri Perintis Kecemerlangan sempenan Minggu Latihan Antarabangsa 2024 anjuran HRD Corp di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2024

Antara lain, beliau membangkitkan tentang keperluan untuk mewujudkan persekitaran pekerjaan yang selamat, selesa dan seimbang kepada golongan wanita untuk terlibat dan terus kekal dalam mana-mana sektor pekerjaan.

“Dalam situasi di mana ramai wanita negara kita mempunyai pencapaian akademik yang tinggi, kita yakin penglibatan mereka dalam sektor pekerjaan dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Steven Sim pula berkongsi pandangan beliau dalam kerangka tajuk Membuka Potensi Ekonomi: Mengintegrasikan Pembangunan Sumber Manusia Menerusi Dasar Perdagangan dan Pendidikan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berucap pada sesi forum Menteri Perintis Kecemerlangan sempenan Minggu Latihan Antarabangsa 2024 anjuran HRD Corp di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2024

Ujarnya, Kesuma akan terus menggandakan usaha bersama 12 kementerian lain khususnya yang mempunyai kaitan langsung dengan TVET untuk memastikan negara mempunyai tenaga kerja mencukupi dan sesuai dalam memenuhi kehendak pelaburan baharu yang masuk ke negara ini.

“Usaha melahirkan bakat dan tenaga kerja berkemahiran ini adalah proses berterusan dan saya yakin ia dapat memenuhi kehendak pelaburan asing walaupun bukan secara keseluruhan pada satu-satu masa, tetapi bekalan tenaga kerja itu sentiasa ada,” katanya.

Dalam masa sama, Steven Sim turut melahirkan rasa gembira kerana program tersebut berjaya mengumpulkan empat Menteri untuk memberikan pandangan dari segi dasar di kementerian masing-masing menjurus kepada pembangunan bakat sumber manusia di negara ini.

“Kita lihat amat jelas ada satu kesinambungan yang mana walaupun di kementerian dan portfolio berbeza, namun kerjasama berpasukan untuk melahirkan bakat sumber manusia itu amat terserlah,” katanya. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast