Foto yang dikongsi Syed Saddiq di Twitter.

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memulakan larian ‘Langkah Muar’ pukul 6.30 pagi tadi berjaya mengutip RM10,000 selepas berlari sejauh 20 kilometer (km).

Ahli Parlimen Muar yang kini dalam misi berlari sejauh 200 km bagi menuntut kerajaan memberikan peruntukan kepada kawasan Parlimen pembangkang berasa terharu dengan sambutan orang ramai.

Larian itu juga bagi mengutip dana RM100,000 dana bagi Pusat Khidmat Muar diperlukan demi ia dapat kekal beroperasi sekaligus membantu rakyat yang memerlukan.

“20 kilometer done (selesai). 180 km more to go to Parliament. Bermula di Jambatan Muar, kini di Merlimau Melaka. Terharu ramai yang datang berhenti berikan sokongan.

“Ahamdulillah dah cecah RM10,000! Ramai yang bertanya macam mana nak menyumbang,” katanya melalui ciapan di Twitter pada pukul 9.49 pagi tadi.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memulakan larian dari Muar ke Parlimen 6.30 pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Muar itu berkata, larian yang dinamakannya sebagai ‘Langkah Muar’ sebagai salah satu cara untuk menghantar mesej kepada kerajaan untuk menepati janji mereka sebelum ini.

Syed Saddiq juga akan menyerahkan memorandum setelah selesai larian marathon itu untuk disampaikan kepada wakil kerajaan dan ahli Parlimen lain.

Jelasnya, memorandum tersebut merupakan cadangan untuk memastikan Akta Parlimen yang diinstitusikan dilakanakan secara adil.

“Kawasan kerajaan mereka (ahli Parlimen) diberikan RM4 juta setahun dan RM20 juta sepenggal perbezaan itu sangat ketara sekali. Walaupun untuk capai RM20 juta itu mustahil tapi sedikit sebanyak dapat menampung agar kami dapat terus membuka pusat khidmat Muar, membayar gaji staff, beri bantuan terus dapat disampaikan kepada orang susah daripada menunggu janji manis kerajaan lebih baik kami bertindak sendiri.

“Kami berharap akhirnya kami dapat meraih dana dan menghantar isyarat protes jelas mewakili rakyat Muar dan Malaysia supaya kita dapat pinda akta baru semua kawasan Parlimen dapat peruntukan yang adil,” ujarnya.

Sebelum itu Syed Saddiq memaklumkan di kumpulan WhatsApp nya, beliau akan memulakan larian sejauh 200km hari ini bermula Jambatan Sultan Ibrahim Muar ke Telok Mas sejauh 39 kilometer (km).

Beliau akan menyambung larian pada pukul 5 petang dari Telok Mas ke Alor Gajah, Melaka sejauh 34 km.

Syed Saddiq akan menyambung larian esok dari Alor Gajah ke Rembau, Negeri Sembilan kira-kira 30 km bermula pada pukul 6.30 pagi dan menyambung larian ke Seremban, Negeri Sembilan sejauh 23.5 km pada pukul 5 petang.

Larian kemudian disambung pada Ahad dari Seremban ke Semenyih, Selangor sejauh 39 kilometer bermula 6.30 pagi dan menyabung larian ke Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur sejauh 20 kilometer pada pukul 5 petang.

Ahli Parlimen Muar itu meneruskan larian sejauh 20 kilometer pada Isnin pukul 6.30 pagi dan dijadual sampai pukul 9 pagi dan kemudian akan melakukan sidang media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast