Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong ketika melancarkan Road to Lyon 2024.

CYBERJAYA – Kerajaan menyediakan insentif khas kepada peserta Road to Lyon 2024 yang memenangi pertandingan kemahiran WorldSkills Competition (WSC) di Lyon, Perancis pada 7 hingga 16 September depan.

Menurut Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, pemenang pingat emas akan menerima wang tunai RM40,000, pingat perak RM20,000 dan pemenang gangsa RM10,000.

Katanya, peserta yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dan  memungut pingat emas, perak dan gangsa akan menerima pengiktirafan berbentuk persijilan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Tambah beliau, peserta yang memperoleh Medallion for Excellence juga akan menerima insentif wang tunai RM4,000.

Insentif tersebut diumumkan pada majlis peluncuran Road to Lyon 2024 yang berlangsung malam ini. Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Saya berharap dengan sokongan yang diberikan, para peserta akan memberikan persembahan yang terbaik semasa beraksi di WSC Lyon 2024 nanti demi mengharumkan nama negara dan pendidikan TVET itu sendiri,” katanya.

Pasukan negara akan diwakili oleh 15 belia berkemahiran terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara.

Mereka akan bertanding dalam 14 daripada 62 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Peserta dipilih dalam kalangan mereka yang mencapai keputusan cemerlang di Pertandingan WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023, WorldSkills ASEAN Singapura 2023, Pertandingan Worldskills Malaysia Belia (WSMB) 2022 dan 2023 yang lalu.

Sementara itu, Steven berharap semua pihak berkepentingan terlibat bagi melaksanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf dunia.

“Jalinan kerjasama strategik dengan pihak industri berupaya mengoptimumkan kepakaran dan teknologi terkini dalam memenuhi hasrat pelaksanaan TVET dipacu industri.

“Dengan keterlibatan pihak industri akan meningkatkan lagi kualiti latihan dan keyakinan peserta negara kerana mereka mendapat pendedahan secara terus berkenaan teknologi semasa dan suasana kerja sebenar di industri.

“Di sini, saya ingin memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak industri dan institusi-institusi latihan dan pendidikan yang aktif memberi sumbangan dan komitmen dalam latihan persediaan peserta negara, antaranya adalah Proton Holding Berhad, FANUC Mechatronic (M) Sdn. Bhd., MB Automation (M) Sdn. Bhd,” kata Steven.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast