Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Foto SYADILA AMARI, 08 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mula menerima permohonan pembayaran tunai daripada pemanfaat Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 pada pada 1 Julai ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, kemudahan itu terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan mereka di bawah SKDS 2.0 tetapi, masih belum mendapat fleet card.

Katanya, pihak berkelayakan boleh memohon untuk mendapat pembayaran tunai itu melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.

“Penuntut akan diberi bayaran semula secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel mutakhir iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun 2024,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan sama Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme pembayaran semula ini bertujuan untuk membantu perniagaan logistik berkelayakan sejajar dengan mekanisme penyasaran subsidi diesel sekaligus dapat mengurangkan risiko kenaikan harga kepada barangan keperluan.

“Skim subsidi diesel bersasar ini bertujuan menangani ketirisan seterusnya memastikan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.

“Langkah ini akan memperkasakan lagi pengurusan serta kecekapan kewangan awam dalam usaha untuk meningkatkan kemakmuran negara seperti diilhamkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Saya ingin mengulangi bahawa kerajaan kekal tekad dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan Kerajaan.

“Kerajaan giat memastikan pelaksanaan skim penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar dan sentiasa terbuka kepada saranan penambahbaikan mencapai matlamatnya,” tambah Amir Hamzah.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan menggesa pemilik-pemilik 23 jenis kenderaan logistik komersial yang layak untuk memohon di bawah SKDS 2.0 supaya membuat permohonan dengan segera bagi mengelak daripada lonjakan kos pengangkutan.

Pengusaha perniagaan logistik berkelayakan boleh mengemukakan permohonan di bawah SKDS 2.0 di https://mysubsidi.kpdn.gov.my. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here