KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman sivil oleh seorang guru tadika, M Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia kerana gagal menangkap bekas suaminya yang melarikan anak perempuan mereka.
Untuk makluman, bekas suami Indira, yang dikenali sebagai K Pathmanathan telah bertindak memeluk Islam dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan Abdullah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan ketika membacakan keputusannya petang ini memutuskan, Indira telah gagal menunjukkan polis bertindak cuai dalam menjejaki bekas suaminya itu.
Sebaliknya kata Raja Ahmad, polis tidak berniat jahat dalam melaksanakan siasatan yang masih berjalan hingga ke hari ini.
“Sebenarnya, ini bukan satu keadaan yang mana Pathmanathan ini berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur atau mana-mana kawasan dengan adanya polis tanpa sebarang tindakan diambil walaupun sedar dengan kehadiran lelaki ini.
“Andai ini terbukti berlaku, saya akan dapat lihat adanya faktor kepada plaintif. Tetapi hakikatnya sehingga hari ini, kelibat Pathmanathan ini tidak diketahui. Ada bukti mengatakan dia ada di Thailand.
“Tafsiran bahawa KPN atau polis tidak berusaha atau abai tanggungjawab adalah tidak benar sebaliknya mereka telah jalankan tugasan dengan cara paling sesuatu iaitu ikut budi bicara luas. Saya tidak berada dalam kedudukan untuk buat telahan tentang tugasan mereka.
“Apa yang penting dan asas adalah sehingga kini kes ini masih lagi berjalan,” katanya hari ini.
Sambil melahirkan simpati terhadap penderitaan oleh Indira yang tidak bertemu anaknya lebih 15 tahun, kata Raja Ahmad, beliau menolak saman itu tanpa sebarang perintah kos.
“Tidak dapat dibayangkan penderitaan dialami oleh plaintif selama lebih 15 tahun. Anak perempuannya itu diambil sejak usianya dua tahun. Kesakitan dan keperitan plaintif sebagai seorang ibu berlarutan sehingga kini.
“Sedihnya, plaintif tidak pernah bertemu anak bongsunya lagi. Tidak diketahui di mana anak perempuannya yang cantik itu berada,” kata beliau.
Sebelum ini pada 2016, Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan KPN menangkap Pathmanathan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya dia menyerahkan anak pemohon, Prasana Diksa kepada ibunya.
Mahkamah Persekutuan bagaimanapun tidak mengeluarkan perintah pemulihan yang dimohon oleh Indira Gandhi untuk mendapatkan semula anak perempuannya itu.
Mahkamah Persekutuan juga telah mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi di Ipoh untuk hakim memantau perkembangan pelaksanaan waran komital terhadap Pathmanathan ketika itu.
Pada 3 Mac 2009, Pathmanathan memeluk agama Islam dan secara sebelah pihak telah mengislamkan ketiga-tiga anak mereka.
Beliau kemudian mendapatkan perintah hak penjagaan bagi mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah manakala Mahkamah Tinggi Sivil memberikan hak itu kepada Indira Gandhi pada 11 Mac 2010.
Bagaimanapun, selepas perintah itu dikeluarkan, Prasana Diksa yang ketika itu berusia sebelas bulan telah dilarikan oleh Pathmanathan.
Indira Gandhi telah memulakan prosiding komital terhadap bekas suaminya kerana enggan mematuhi perintah hak penjagaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil.
Mahkamah Tinggi kemudian memutuskan lelaki itu bersalah kerana menghina mahkamah dan mengeluarkan waran komital.
Indira memperoleh perintah mandamus pada September 2014 untuk memaksa KPN melaksanakan waran itu terhadap Pathmanathan selepas beliau enggan mewajibkan pelaksanaannya atas alasan polis telah diletakkan dalam keadaan ketidaktentuan kerana terdapat dua perintah mahkamah yang bercanggah.
Pada 30 Mei 2014, Indira Gandhi memperoleh perintah pemulihan daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan KPN atau Pesuruhjaya Polis untuk mengarah dan memastikan pegawai polis yang berkaitan memfailkan afidavit pada minggu pertama setiap bulan bagi mengemas kini mahkamah mengenai proses mendapatkan semula Prasana Diksa.
Pada 28 Okt 2020, Indira memfailkan saman atas dakwaan kegagalan pihak polis menjejaki Riduan, menangkapnya, dan mendapatkan semula Prasana daripada bekas suaminya itu.
Indira Ghandi mendakwa pihak polis gagal berbuat demikian dan memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap KPN. – MalaysiaGazette