Logo Afengsi Antidadah Kebangsaaan (AADK) di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 05 JANUARI 2022.

SETIAP tahun pada tarikh 26 Julai, seluruh dunia menyambut Hari Peringatan Anti Dadah sebagai salah satu usaha berterusan memerangi penyalahgunaan dadah secara global.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam menyertai sambutan yang bermula pada 1989 itu menerusi kerjasama pelbagai agensi berkaitan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK).

Malah, sambutan Hari Peringatan Anti Dadah itu lebih signifikan dan kritikal di Malaysia memandangkan data serta statistik mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini sentiasa menunjukkan angka-angka yang membimbangkan.

Saban tahun, jumlah penagih dadah baharu di negara ini sentiasa bertambah.

Setakat Mac lalu misalnya, seramai 62,143 atau 51.2 peratus daripada keseluruhan 121,170 kes penagihan dan penyalahgunaan dadah yang direkodkan merupakan kes baharu.

Lebih membimbangkan, daripada jumlah keseluruhan itu, kira-kira 60 peratus atau 72,684 yang terlibat merupakan golongan remaja dan belia.

Malah, kajian National Health dan Morbidity Survey (NHMS) pada 2022 turut mendedahkan tiga daripada empat individu yang terbabit dengan dadah mula menggunakan bahan terlarang itu sebelum umur 14 tahun.

Situasi ini sangat menakutkan kerana secara tidak langsung menggambarkan betapa mudahnya bekalan dadah itu diperoleh di pasaran termasuk oleh golongan kanak-kanak.

Usaha membanteras penyalahgunaan dadah juga semakin kompleks dan mencabar disebabkan trend pengambilan bahan terlarang itu yang berubah kepada dadah jenis sintetik yang mudah dihasilkan.

Antara jenis dadah paling popular dalam kalangan generasi hari ini adalah stimulan jenis amfetamine atau ATS iaitu dadah sintetik yang dihasilkan melalui campuran bahan-bahan kimia.

Jenis dadah ini yang popular antaranya seperti pil kuda, yaba, ice, syabu dan ekstasi yang apabila diambil menyebabkan tindakan rangsangan yang agresif terhadap sistem saraf.

Dadah ini amat merbahaya kerana boleh menjadikan mental pengambilnya tidak stabil dengan tingkah laku yang ganas, kawalan emosi yang terjejas dan kecenderungan untuk membunuh diri.

Dengan ancaman dadah yang semakin kompleks itu juga, pendekatan konvensional yang diguna pakai oleh negara selama ini dalam membanteras penyalahgunaan dadah dilihat tidak lagi sesuai dan memerlukan perubahan drastik.

Disebabkan itu, pindaan yang dibuat dalam Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini merupakan langkah penting dan perlu diberi perhatian serius khususnya di peringkat agensi pelaksana.

Secara dasarnya, pindaan itu kelak tidak lagi melihat mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah sebagai seorang penagih atau pesalah yang bakal dikenakan hukuman.

Sebaliknya, kumpulan itu akan dilihat sebagai `pesakit’ yang lebih memerlukan rawatan berbanding tindakan undang-undang dalam menangani masalah penagihan dadah yang dihadapi mereka.

Pindaan akta itu juga kelak akan memberi lebih ruang dan peluang kepada penagih dadah serta kaum keluarga mereka untuk mendapatkan rawatan di pusat-pusat pemulihan tanpa perlu melalui pelbagai kerenah birokrasi.

Ini secara tidak langsung dapat mengatasi masalah penagihan dadah berulang yang menjadi antara penyebab mengapa masalah penagihan dadah di negara ini sukar dibanteras disebabkan wujudnya permintaan berterusan terhadap dadah di pasaran. – MalaysiaGazzete

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here