KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya dan mengabai anak perempuan mereka berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tahun lepas.
Pemandu e-hailing berusia 29 tahun dan suri rumah berusia 26 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah flat di Taman Mulia di Cheras, di sini antara April hingga 1 Dis 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala peguam A. Tamara yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan.
“Mahkamah Majistret di sini hari ini sudah melepas tanpa membebaskan kedua-dua anak guam atas tuduhan membunuh anak perempuan mereka. Pasangan itu juga direman sejak Disember tahun lepas dan dua lagi anak mereka yang masih kecil berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Tertuduh wanita bersalin dalam penjara dan mohon mahkamah mengambil kira kes ini sama seperti kes Zayn Rayyan apabila ibu bapa mereka mendapat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin,” katanya.
Tertuduh wanita itu turut membawa anak perempuannya berusia lima bulan pada prosiding hari ini.
Hakim Dr Azrol Abdullah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah, di sini dipercayai akibat didera dan diabaikan penjaganya di sebuah flat perumahan di Bandar Tun Razak.
Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu menghadapi beberapa masalah kesihatan berikutan dilahirkan pramatang dan meninggal dunia disebabkan kekurangan nutrisi. – BERNAMA