Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan

SEREMBAN – Seorang pekerja ladang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh adik kandungnya di sebuah ladang kelapa sawit, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas K. Paramasivam, 49, selepas mendengar hujahan dan rayuan mitigasi dikemukakan pihak pembelaan dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan.

“Oleh itu, saya memutuskan bahawa tertuduh dijatuhkan hukuman gantung pada masa, tarikh dan tempat yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Paramasivam didakwa membunuh K. Tanjong Tuan, 40, di sebuah ladang kelapa sawit Linsum, Rantau antara 11 pagi hingga 1 tengah hari pada 8 Jun 2020.

Terdahulu, peguam Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili Paramasivam dalam rayuannya meminta hukuman penjara dan sebatan dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan kejadian itu bukan dilakukan dengan niat dan tertuduh tiada perancangan membunuh mangsa.

“OKT (orang kena tuduh) ketika kejadian juga sentiasa mabuk selepas kematian ibu mereka. Dalam kes ini, OKT amat menyesali apa yang berlaku dan ini adalah kesalahan pertama, tiada kesalahan rekod jenayah terdahulu dilakukannya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ala’uddin Baharom meminta hukuman mati dijatuhkan kepada tertuduh mengambil kira mangsa merupakan adik kandungnya selain perbuatan tersebut merupakan jenayah terancang dan kejam berdasarkan kecederaan dialami mangsa.

“Terdapat 13 kecederaan termasuk 12 kecederaan kelar dan satu lelasan termasuk di leher, belakang badan dan dada mangsa, senjata tajam digunakan dan dibawa ke ladang tersebut, ini menunjukkan persediaan telah dilakukan…mangsa juga dibiarkan di tempat kejadian sehingga dijumpai orang awam dalam keadaan berulat,” katanya.

Seramai 21 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 3 April 2023. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here