Muhammad Adib Nadhir Mohd Zaharizan (tengah) bersama Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin (kanan) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong, Kuantan hari ini

KUANTAN – ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

Kegigihan seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) fizikal dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong menuntut ilmu sehingga memperoleh keputusan membanggakan dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini nyata membuahkan hasil.

Hari ini, Muhammad Adib Nadhir Mohd Zaharizan, 18 tersenyum lebar apabila dia menerima surat tawaran belajar Program Asasi Sains Kemanusian di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) tajaan sepenuhnya kerajaan Pahang bagi kemasukan Julai ini.

Dia yang memperoleh 3A 5B dalam SPM baru-baru ini jelas teruja dan sama sekali tidak menyangka diberikan peluang keemasan itu kerana dia sememangnya berazam untuk menyambung pelajaran sehingga ke menara gading.

Muhammad Adib Nadhir Mohd Zaharizan

“Tak pernah terfikir akan dapat tawaran sambung belajar seperti ini sebab saya memang nak sambung belajar, tak mahu duduk sahaja di rumah.

“Cita-cita saya nak menjadi seorang ahli perniagaan,” katanya yang menghidap ‘Spinal Muscular Altrophy‘ (SMA) Jenis 2 sejak lahir ketika ditemui di SMK Chengal Lempong, di sini hari ini.

Adib memberitahu, dia akan ditawarkan menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan kepujian selepas Program Asasi Sains Kemanusian di UnIPSAS nanti.

Kata anak kedua daripada tiga adik beradik itu, dengan pencapaian diperolehnya itu, dia mahu lebih ramai golongan pelajar OKU fizikal sepertinya tidak berputus asa dalam mengejar cita-cita masing-masing.

Ditanya jika Adib ada membuat permohonan menyambung pelajaran di universiti lain, katanya dia baharu sahaja menolak tawaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu kerana faktor jarak dari rumahnya.

Jelasnya, dia masih memerlukan ibu bapanya untuk membantu melakukan pergerakan tertentu.

Sementara itu, Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin yang menyerahkan surat tawaran belajar kepada pelajar bertuah itu turut merasa teruja dengan pencapaian anak muda ini.

Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin

“Ini merupakan satu petanda bahawa di negara kita ni semua orang boleh mencipta kejayaan cemerlang.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan SMK Chengal Lempong yang dipimpin Pengetua, Norhisham Rani dan guru-guru kerana berjaya melahirkan pelajar yang berkeperluan khas seperti Adib untuk cipta kejayaannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau memberitahu bahawa ini merupakan satu tanggungjawab yang besar buat UnIPSAS untuk memastikan keperluan pembelajaran sesuai buat pelajar berkeperluan seperti Adib. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here