William Leong Jee Keen.

SELAYANG – Kerajaan Negeri Selangor digesa membatalkan cadangan pembinaan insinerator (WTE) Sultan Idris Shah di Batu Arang, dekat sini, yang boleh menjejaskan ekosistem penduduk sekitar.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, kerajaan negeri itu juga perlu memastikan pembinaan insinerator tidak berada di dalam radius 2.5 kilometer dari taman-taman perumahan, sekolah, masjid dan tempat ibadat lain.

“Batu Arang merupakan kawasan pembinaan yang tidak sesuai berikutan sejarahnya dahulu merupakan sebuah kawasan perlombongan batu arang.

“Semua sedia maklum Batu Arang mempunyai kompleks terowong bawah tanah yang berlikar di bawahnya dan di dalamnya juga mengandungi metana atau gas mudah yang terbakar.

William Leong Jee Keen.

“Oleh yang demikian, masih terdapat risiko kebakaran bawah tanah, terutamanya apabila insinerator, sebuah fasiliti yang menggunakan kaedah pembakaran terbuka, dibina atas tapak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada pendengaran bantahan penukaran penggunaan tanah untuk pembinaan insinerator di Batu Arang antara penduduk bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini, hari ini.

Menurut Willian, sebelum ini lima insiden pembakaran bawah tanah pernah berlaku di kawasan itu dan paling terkesan pada tahun 2011, yang memaksa penduduk setempat berpindah berikutan api tidak dapat dipadamkan selama beberapa hari.

Beliau juga menekankan bahawa sisa pepejal tidak akan lenyap mahupun musnah jika ia dibakar, sebaliknya proses pembakaran hanya akan mengubah stuktur bentuk zarahnya.

Susulan itu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu mengambil langkah bertepatan seperti yang dilaksanakan beberapa negara maju seperti di Eropah.

“Denmark misalnya telah menyatakan komitment mereka untuk mengurangkan kapasiti insinerator sebanyak 30 peratus dalam masa 10 tahun, dan menutup tujuh fasiliti incinerator di samping meningkatkan usaha mengitar semula sisa pepejal.

“European Parliament juga telah memutuskan, melalui Circular Economy Action Plan, bahawa ‘Negara-negara Ahli haruslah meningkatkan langkah-langkah pencegahan dan fasiliti untuk memproses kitar semula dan bergerak jauh daripada amalan membuang sampah di tapak pelupusan di samping mengurangkan kebakaran, mengikut hierarki pemprosesan sampah (waste hierarchy).

“Sekiranya kerajaan negeri ingin meneruskan hasrat pembinaan insinerator sisa kepada tenaga, ia secara langsung akan meningkatkan pelepasan karbon dan mengugat usaha Malaysia untuk mencapat matlamat pelepasan karbon sifat bersih menjelang 2025,” jelasnya.

Sehubungan itu, William meminta kerajaan negeri perlu bergerak seiring dengan kerajaan persekutuan dalam memartabatkan ekonomi kitaran.

Selain itu, perlu mempertimbangkan pemlilihan lokasi tapak insinerator agar ia tidak memudaratkan kesihatan masyarakat sekeliling di samping memastikan bahawa pembinaannya adalah selamat dan bersih. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here