Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari premis perniagaan bagi siasatan kes seorang pemandu syarikat penghantar barang mendakwa diliwat pelukis tatu di Sungai Way, di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, tindakan tersebut diambil bagi membolehkan pihaknya mendapatkan gambaran insiden tersebut.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dalam kes ini termasuk menyoal siasat suspek.

“Kita juga sedang mengenal pasti jenis minyak yang diletakkan oleh suspek pada badan mangsa di premisnya sehingga tidak sedarkan diri,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam Shahrulnizam mengesahkan suspek seorang lelaki berusia 37 tahun itu diberkas di rumahnya di Sungai Way bagi membantu siasatan berkaitan seorang pelukis tatu disyaki meliwat pelanggan lelakinya.

Siasatan mendapati modus operandi suspek adalah dengan mencalitkan minyak pada anggota badan pelanggan sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum melakukan jenayah tersebut.

Menurut Shahrulnizam, pihaknya akan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada mangsa untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here