Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Seri Muhyiddin Yassin hadir pada sesi minum petang bersama penduduk tempatan di Sungai Bakap, Pulau Pinang, Foto AIZAT ZAINAL, 28 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap diminta memilih calon Perikatan Nasional (PN) untuk memberi isyarat kuat penolakan kepada Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isyarat itu untuk menunjukkan rakyat di bawah sedang menderita berhubung kos sara hidup rakyat ketika ini.

Jelas beliau, ia juga sebagai referendum agar kerajaan dapat bertindak secara adil dan bertanggungjawab dengan slogan reformasi yang dilaungan sebelum ini.

“Kita (rakyat) kena bagi isyarat yang kuat kepada Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri terutama perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Ini kerana rakyat sedang menderita…Mereka berhadapan dengan kesusahan dan apalagi dengan tindakan yang terakhir iaitu menarik subsidi minyak diesel ataupun minyak petrol akan datang.

“Kita ada dalam pentadbiran kerajaan kena ada jaringan keselamatan sosial. Apa tujuannya? Supaya rakyat tidak jatuh susah, tak jatuh miskin,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin menyantuni orang ramai dalam usaha membantu kempen calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail di Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunung di Simpang Ampat di sini.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin memberitahu, gerak kerja PN pada kempen PRK DUN Sungai Bakap semakin lancar dengan kerjasama daripada empat parti komponen.

“Kita tak boleh nak keterlaluan, nanti kata ‘over confident’. Dalam pilihan raya saya dah banyak pengalaman tapi yang penting semua pihak mesti bekerjasama,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here