Asmawar bercakap ketika ditemui di luar perkarangan pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan diminta supaya membatalkan hasrat penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat pro zionis, BlackRock kerana tidak wajar susulan terdapat banyak bantahan daripada rakyat ketika ini.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Asmawar Samad berkata, saham MAHB itu adalah daripada syarikat entiti kerajaan dan seharusnya pihak pemerintah mendengar bantahan rakyat dan mereka perlu sedar bahawa tertubuhnya pemerintahan itu adalah daripada rakyat juga.

Menurutnya, rakyat berhak membantah penjualan saham itu kerana pelaburan saham dalam MAHB adalah hasil yang diperolehj daripada orang ramai.

“MAHB ni tak pernah rugi, jadi tak rugi kenapa nak kena jual saham?

“Kalau nak jual sekali pun kenapa perlu dijual dengan pihak yang ada kaitan dengan Israel?…banyak lagi syarikat-syarikat lain termasuk Bumiputera yang boleh membeli saham MAHB itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara berkenaan di Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Asmawar berkata, penjualan saham MAHB kepada GIP BlackRock berpotensi menimbulkan risiko besar terhadap Malaysia baik dari segi keselamatan mahupun dari perspektif ekonomi.

Ini kerana katanya, daripada sudut keselamatan negara, MAHB mengendali dan menguruskan 39 lapangan terbang di Malaysia yang mana lima di antaranya ialah lapangan terbang antarabangsa.

“Lapangan terbang antarabangsa adalah pintu masuk di mana penumpang dan kargo memasuki dan meninggalkan negara.

“Ini bermakna jika GIP Blackrock dibenarkan untuk mempunyai kuasa yang besar dalam pengurusan MAHB, mereka akan dapat memiliki pengaruh langsung dan kawalan atas pelabuhan-pelabuhan ke negara ini bersama-sama denga apa yang masuk dan keluar dari atau ke negara ini,” ujarnya.

Malah, kata beliau bukan begitu sahaja,BlackRock juga akan mempunyai akses dan kawalan ke atas semua pusat kawalan udara dan semua sistem radar pengawasan udara Malaysia yang berada di bawah seliaan MAHB.

Justeru katanya, Malaysia tidak boleh alpa dan naif untuk berfikir bahawa memberikan sebarang pengaruh, kawalan atau akses kepada aset-aset berkenaan kepada entiti asing, pro zionis tidak akan membahayakan keselamatan Malaysia

Terdahulu, Putra hari ini menyerahkan memorandum sama ke pejabat MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mengunjungi Perdana Putra.

Satu lagi memorandum akan diserahkan ke pejabat Khazanah Nasional di KL Sentral petang ini.

Difahamkan, memorandum yang diserah ke Pejabat Perdana Menteri itu diterima oleh Pengarah Bahagian Kewangan dan Ekonomi, Abu Zeid Mohd Arif untuk diserahkan kepada Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here