Tangkap layar Syed Saddiq mulakan larian Langkah Muar menuntut peruntukan pembangkang.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan larian sejauh 200 kilometer (km) bagi menuntut kerajaan memberikan peruntukan kepada kawasan Parlimen pembangkang.

Melalui perkongsian di media sosial, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memulakan larian dari Muar 6.30 pagi tadi. Kelihatan turut bersama-sama Syed Saddiq tiga lagi individu selain diiringi pemerhati bermotosikal.

Sebelum itu Syed Saddiq memaklumkan di kumpulan WhatsApp rasminya bahawa beliau akan memulakan larian dari Jambatan Sultan Ibrahim Muar ke Telok Mas sejauh 39 kilometer (km).

Beliau akan menyambung larian pada pukul 5 petang hari ini dari Telok Mas ke Alor Gajah, Melaka sejauh 34 km.

Syed Saddiq akan menyambung larian esok dari Alor Gajah ke Rembau, Negeri Sembilan kira-kira 30 km pada pukul 6.30 pagi dan menyambung larian ke Seremban, Negeri Sembilan sejauh 23.5 km pada pukul 5 petang.

Larian kemudian disambung pada Ahad dari Seremban ke Semenyih, Selangor sejauh 39 kilometer bermula 6.30 pagi dan menyabung larian ke Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur sejauh 20 kilometer pada pukul 5 petang.

Ahli Parlimen Muar itu meneruskan larian sejauh 20 kilometer pada Isnin pukul 6.30 pagi dan dijadual sampai di Parlimen pukul 9 pagi dan kemudian akan melakukan sidang media.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Muar itu berkata, larian yang dinamakannya sebagai ‘Langkah Muar’ sebagai salah satu cara untuk menghantar mesej kepada kerajaan untuk menepati janji mereka sebelum ini.

Syed Saddiq juga akan menyerahkan memorandum setelah selesai larian marathon itu untuk disampaikan kepada wakil kerajaan dan Ahli Parlimen lain.

Jelasnya, memorandum tersebut merupakan cadangan untuk memastikan Akta Parlimen yang diinstitusikan dilakana secara adil.

“Kawasan kerajaan mereka (ahli Parlimen) diberikan RM4 juta setahun dan RM20 juta sepenggal perbezaan itu sangat ketara sekali. Walaupun untuk capai RM20 juta itu mustahil tapi sedikit sebanyak dapat menampung agar kami dapat terus membuka pusat khidmat Muar, membayar gaji staff, beri bantuan terus dapat disampaikan kepada orang susah daripada menunggu janji manis kerajaan lebih baik kami bertindak sendiri.

“Kami berharap akhirnya kami dapat meraih dana dan menghantar isyarat protes jelas mewakili rakyat Muar dan Malaysia supaya kita dapat pinda akta baru semua kawasan Parlimen dapat peruntukan yang adil,” ujarnya.

Larian itu juga merupakan misi meraih dana bagi Pusat Khidmat Muar menerusi larian tersebut.

Beliau berkata, dana sekurang-kurangnya RM100,000 diperlukan demi memastikan pusat tersebut dapat kekal beroperasi sekaligus membantu rakyat yang memerlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.