Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin bercakap pada media berkenaan sesi ramah mesra bersama penduduk tempatan di Pasar Malam Sungai Duri, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan, Dr. Joohari Ariffin menyifatkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang memasuki hari ketujuh berjalan dengan positif dan tiada pengundi yang menolak kehadirannya.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Joohari berkata, dalam tempoh kempen setakat ini, beliau banyak mendengar keluhan penduduk Sungai Bakap membabitkan pelbagai isu termasuk tekanan kos sara hidup.

“Apabila pengundi meluahkan keluhan kita catit dan senaraikan ia mengikut keutamaan yang perlu diselesaikan selepas PRK, InsyaAllah.

“Setakat ini, Alhamdulillah nampak kita masuk (santuni pengundi) tak ada yang kata menolak dan ramai mengatakan sokongan.

Tagline Cikgu Joohari nombor satu turut dilihat sudah meresap dalam kalangan penduduk sini (Sungai Bakap) ia terbukti apabila saya santuni mereka itu ayat yang didengari sekali gus menaikkan semangat saya,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut mengenai permintaan pengundi yang mahukan wakil rakyat kerap turun padang selepas PRK, Joohari berkata, permintaan itu rasional dan ia juga merupakan iltizam dirinya.

“Betullah (perlu turun padang) kita jadi wakil mereka..bukan kita diangkat untuk singgah sana sini sebaliknya kena turun ke bawah (temui pengundi) dan itu juga iltizam saya sebenarnya,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here