Calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail berucap pada program Ceramah Kelompok bersama penduduk tempatan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Simpang Ampat, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 28 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail sudah mendampingi kira-kira 50 peratus pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap secara bersemuka.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal berkata, setakat ini, pihaknya mendapat respons yang positif daripada pengundi pelbagai kaum.

“Alhamdulillah kempen yang memasuki hari ketujuh berjalan dengan lancar dan saya juga telah menyantuni lebih 50 peratus pengundi secara bersemuka.

“Manakala jentera semua komponen parti PN pula sudah mendekati lebih 80 peratus pengundi di kawasan putih dan kelabu.

“Kita percaya jumlah ini akan dapat ditingkatkan atau diselesaikan sebelum tiba hari mengundi,”katanya kepada pemberita malam tadi.

Mengulas lanjut Abidin berkata, isu kos sara hidup serta kenaikan tarif air sehingga 200 peratus antara keluhan banyak yang didengarinya ketika mendekati pengundi.

“Jadi kita lihat ‘mood’ rakyat ramai yang terkesan dengan isu ini dan Insya Allah kita doa PN kekal di Sungai Bakap,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon PN, Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here