Anggota-anggota penguatkuasa DBKL memeriksa wanita yang dipercayai menawarkan khidmat pelacuran berselindung disebalik perniagaan rumah urut di Kepong, hari ini. Gambar: Facebook DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan menutup serta-merta empat premis pusat urut tanpa lesen sah yang turut menjalankan aktiviti pelacuran di sekitar Kepong.

Malah, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut merobohkan 57 struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan di empat premis terbabit.

DBKL dalam kenytaaan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan tersebut dilakukan susulan siasatan dan risikan yang dijalankan selama lima hari di sekitar kawasan berkenaan.

“Sebanyak empat notis di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan perindustrian (WPKL) 2016 telah dikeluarkan atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.

“Selain itu, sebanyak 57 struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan ke atas empat premis tersebut telah dirobohkan di bawah kesalahan Seksyen 79(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Keempat-empat premis tersebut juga dikenakan tindakan tutup serta-merta dan barangan perniagaan telah disita,” katanya.

Menurut DBKL lagi, kesemua barangan yang disita dibawa dan disimpan di stor Jalan Lombong, Cheras, di sini.

Tegasnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.

Sehubungan itu katanya, sebarang aduan daripada orang awam boleh disalurkan menerusi laman sesawang Adu@KL di pautan http://adukl.dbkl.gov.my. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here