Hampir 300 orang peserta hadir di perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri sebagai tanda protes ke atas pentadbiran kerajaan pada Himpunan Rakyat Lawan Anwar di Seri Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2024.

PUTRAJAYA – Himpunan Rakyat Lawan Anwar yang diadakan di pekarangan kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tempoh 30 hari untuk mengambil tindakan terhadap lapan tuntutan mereka.

Penganjur himpunan berkenaan, Aidil Yunus berkata, sekiranya tuntutan-tuntutan tersebut tidak diambil perhatian, maka pihaknya akan mengadakan himpunan kali kedua di Parlimen Tambun.

“Untuk pusingan kedua, kami akan bergerak ke Tambun, Parlimen, sekiranya tuntutan ini tidak didengar kerana ini adalah tuntutan rakyat.

“Anwar telah gagal sejak 100 hari pertama menjadi perdana menteri, dia tidak mendengar suara rakyat,” katanya dalan sidang media selepas Himpunan Rakyat Lawan Anwar berakhir di pekarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana.

Para peserta Himpunan Rakyat Lawan Anwar memegang sepanduk di perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2024.

Terdahulu hampir 300 peserta menghadiri himpunan yang diadakan sejak jam 4 petang tadi.

Turut hadir pada perhimpunan sama termasuk aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard; Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri, Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Himpunan Lawan Anwar itu menuntut subsidi diesel dikembalikan dan menurunkan kembali harga diesel dan tidak menaikkan harga RON95 dan gas; mengembalikan bekalan beras tempatan tanpa kenaikan harga dan membela nasib pesawah, selain isu rakyat tercicir kerana kesan Covid-19.

Himpunan turut menuntut supaya kerajaan kembalikan bekalan beras putih tempatan (BPT) tanpa kenaikan harga dan bela nasib pesawah dan berlaku adil kepada ahli Parlimen pembangkang dengan peruntukan kewangan yang mencukupi supaya mereka boleh melaksanakan tugas mereka dengan efektif.

Ketua Penggerak Demi Negara, Aidil Yunus bercakap kepada media selepas hadir ke Himpunan Rakyat Lawan Anwar ketika di Seri Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2024.

Ditanya rasional himpunan ini diadakan di Seri Perdana, Aidil berkata, kediaman rasmi seorang pemimpin adalah tempat paling berkuasa dan merupakan lambang kepada kepimpinan mereka.

“Bila nak mula turunkan seorang pemimpin, di mana-mana di seluruh dunia protes pertama akan dibuat di kediaman rasmi beliau, ia menunjukkan betapa seriusnya himpunan ini kepada rakyat

“Ini adalah tempat paling berkuasa di pentadbiran Putrajaya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menyatakan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pemilik tanah dan penganjur dinasihatkan tidak meneruskan perhimpunan itu.

Aidil pula berkata, pihaknya berhak untuk berhimpun dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here