ALOR GAJAH – Akibat takut ditahan polis kerana disyaki berkhalwat dalam kenderaan, seorang lelaki sanggup melanggar unit kereta peronda polis (MPV) di Kuala Sungai Baru di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 malam itu, lelaki berusia 44 tahun dan kekasihnya, 25 tahun yang menaiki pacuan empat roda jenis Ford Ranger didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan sunyi dan gelap.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata kejadian disedari dua anggota MPV Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Kesalamatan Komuniti (BPJKK) daerah yang sedang membuat rondaan cegah jenayah.

“Unit MPV kemudian memberhentikan kenderaan di belakang pacuan empat roda tersebut dengan menyalakan lampu beacon, namun pemandunya enggan memberikan kerjasama.

“Suspek sebaliknya cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar MPV namun berjaya ditahan selepas itu,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati suspek dan pasanganya itu yang berasal dari Masjid Tanah bertindak demikian kerana takut ditangkap berkhalwat.

“Rempuhan kuat menyebabkan MPV polis mengalami kerosakan pada pintu hadapan selain tingkap pecah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-duanya tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah,” katanya.

Ashari berkata, pasangan itu bagaimanapun ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here