KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul RM55,000 dalam tempoh 24 jam sejak memulakan larian 200 kilometer semalam.
Beliau dalam misi ‘Langkah Muar’ dari Muar, Johor ke Parlimen bagi mendesak Kerajaan memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Larian itu juga bagi mengutip dana RM100,000 dana bagi Pusat Khidmat Muar diperlukan demi ia dapat kekal beroperasi sekaligus membantu rakyat yang memerlukan.
Syed Saddiq dalam ciapan di Twitter berkata, beliau hampir mengalami kekejangan kaki sejak memulakan larian pukul 6.30 pagi semalam.
“Dalam tempoh 24jam, kita berjaya meraih RM55,00 untuk Muar. I owe it to all of you. From the bottom of my heart, thank you.
“Ramai yang sanggup tunggu di tepi jalan. Dari yang tua ke yang muda. Berbilang bangsa dan agama.
Bila kaki nak cramp, dengar je sorakan sahabat semua hilang terus cramp dan semangat naik semula,” katanya.
Beliau telah berada di Alor Gajah, Melaka malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Muar itu berkata, larian itu sebagai salah satu cara untuk menghantar mesej kepada kerajaan untuk menepati janji mereka sebelum ini.
“Kawasan kerajaan mereka (ahli Parlimen) diberikan RM4 juta setahun dan RM20 juta sepenggal perbezaan itu sangat ketara sekali. Walaupun untuk capai RM20 juta itu mustahil tapi sedikit sebanyak dapat menampung agar kami dapat terus membuka pusat khidmat Muar, membayar gaji staff, beri bantuan terus dapat disampaikan kepada orang susah daripada menunggu janji manis kerajaan lebih baik kami bertindak sendiri
“Kami berharap akhirnya kami dapat meraih dana dan menghantar isyarat protes jelas mewakili rakyat Muar dan Malaysia supaya kita dapat pinda akta baru semua kawasan Parlimen dapat peruntukan yang adil,” ujarnya.
Syed Saddiq memaklumkan di kumpulan WhatsApp nya, beliau akan memulakan larian sejauh 200km semalam bermula Jambatan Sultan Ibrahim Muar ke Telok Mas sejauh 39 kilometer (km).
Beliau akan menyambung larian pada pukul 5 petang dari Telok Mas ke Alor Gajah, Melaka sejauh 34 km.
Syed Saddiq akan menyambung larian hari ini dari Alor Gajah ke Rembau, Negeri Sembilan kira-kira 30 km bermula pada pukul 6.30 pagi dan menyambung larian ke Seremban, Negeri Sembilan sejauh 23.5 km pada pukul 5 petang.
Larian kemudian disambung pada Ahad dari Seremban ke Semenyih, Selangor sejauh 39 kilometer bermula 6.30 pagi dan menyabung larian ke Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur sejauh 20 kilometer pada pukul 5 petang.
Ahli Parlimen Muar itu akan meneruskan larian sejauh 20 kilometer pada Isnin pukul 6.30 pagi dan dijadual sampai di Parlimen pukul 9 pagi dan kemudian akan melakukan sidang media. – MalaysiaGazette