Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melakukan gimik perasmian Majlis FAMA FEST 2024 Selangor di AEON Mall Bukit Tinggi Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2024.

KLANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menerima 18,642 pendaftaran bagi Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) bagi kategori Agri-Komoditi  setakat hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 8,707 individu telah berdaftar dengan MAFS bagi mendapatkan bantuan subsidi bulanan diesel berjumlah RM200.

“MAFS menerima 18,642 permohonan bagi bantuan subsidi di bawah Budi Agri-Komiditi setakat 29 Jun 2024.

“Kita berharap ramai lagi akan memohon dan pihak kementerian akan memudahkan permohonan bantuan subsidi ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian FAMA Fest 2024 Selangor di pekarangan pusat beli-belah AEON Bukit Tinggi, di sini, hari ini.

Inisiatif Budi Madani dibuka untuk permohonan sejak 28 Mei lalu sebagai platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui beberapa kategori.

Antaranya BUDI Individu serta kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori BUDI Agri-Komoditi.

Dianggarkan 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu manakala hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here