Orang ramai tidak melepaskan peluang melawat tapak jualan di Majlis FAMA FEST 2024 Selangor di AEON Mall Bukit Tinggi Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2024.

KLANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menyasarkan sehingga RM750,000 jualan sepanjang empat hari penganjuran FAMA Fest 2024 Selangor di pekarangan AEON Mall Bukit Tinggi di sini dari 27 hingga 30 Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jualan Agro Madani itu menawarkan pelbagai barang keperluan agromakanan secara terus dari ladang itu dijangka mampu menarik sehingga 50,000 pengunjung.

“FAMA Fest 2024 di Selangor mewujudkan platform bagi usahawan FAMA mempromosikan pelbagai hasilan serta perkhidmatan pertanian termasuk kolaborasi dengan Pasar Saloma dengan kunikan makanan tradisi popular dalam negara.

“Saya telah menetapkan sasaran bagi Fama Fest di Selangor ini untuk mencapai nilai jualan sebanyak RM750,000 dan jumlah pengunjung seramai 50,000 orang akan dapat memberi manfaat kepada 200 orang usahawan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian FAMA Fest 2024 Selangor di pusat beli-belah AEON Mall Bukit Tinggi, di sini, hari ini.

Mohamad Sabu melawat tapak jualan selepas merasmikan Majlis FAMA FEST 2024 Selangor di AEON Mall Bukit Tinggi Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2024.

Selain Selangor, katanya, sebanyak lapan lokasi FAMA Fest telah dirancang dan pelaksanaannya telah bermula di Perak, Sarawak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Sabah pada tahun ini.

Beliau berkata, FAMA Fest 2024 dijangka mampu meningkatkan jualannya berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan sasaran berjumlah RM7.85 juta melibatkan 755 usahawan serta 500,000 pengunjung untuk tahun ini.

“Secara keseluruhan sejak bermula dari 2017, FAMA Fest telah mencatatkan kehadiran seramai 2.2 juta pengunjung dengan jumlah jualan sebanyak RM24.2 juta yang memberi manfaat kepada 2,180 usahawan.

Pada 2023 sahaja, FAMA Fest telah merekodkan sejumlah 283,000 pengunjung dengan penglibatan 532 usahawan dengan hasil jualan sebanyak RM4.2 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here