Mohd Na'im Mokhtar bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Program Anak Muda Hero Keluarga sempena Sambutan Hari Bapa 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Masalah kewangan masih lagi menjadi salah satu daripada punca utama berlakunya keretakan rumah tangga hingga berlakunya perceraian.

Ini kerana, masalah kewangan yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga boleh bertukar menjadi masalah penderaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhar.

Beliau berkata, masalah kewangan dianggap sebagai kegagalan suami ataupun seseorang bapa dalam menjalankan tanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri dan juga anak-anak.

“Sama ada ia nafkah dari sudut makan minum, tempa tinggal tetapi juga nafkah dari sudut kasih sayang.

“Jadi, inilah yang sepatutnya dijaga dalam sesebuah rumahtangga dan ketua keluarga harus mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan segala keperluan dibawah tanggungannya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Anak Muda Hero Keluarga sempena Sambutan Hari Bapa 2024 di sini, hari ini.

Beliau ditanya apakah punca yang menyebabkan seringnya berlaku keretakan rumahtangga melibatkan pasangan muda sebagaimana berlaku ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im yang merupakan bekas hakim mahkamah syariah berkata, terdapat isteri-isteri yang terpaksa bekerja dengan teruk bagi membantu menyara keluarga.

Malah, ada juga suami yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan baik hingga ada yang mengambil kesempatan mengambil wang hasil daripada perih keringat isteri masing-masing.

“Jadi, bila mana keadaan ini berlaku, isteri kadang-kadang ada yang bertanya kepada suami dan memberi nasihat agar suami bekerja menanggung keluarga bersama-sama dengannya.

“Tapi, ini yang kadang-kadang menimbulkan kemarahan kepada suami hingga melakukan penderaan kepada isteri dan anak-anak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak golongan bapa dan juga suami agar belajar memahami tanggungjawab sebagai ketua keluarga agar perkara-perkara seumpama itu tidak berlaku.

Terdahulu, seramai 350 peserta yang terdiri dalam kalangan anak muda menyertai program berkenaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Melalui program tersebut, Jakim berhasrat dapat meraikan golongan bapa selain mendidik dan menyedarkan anak muda yang bakal menjadi ketua keluarga mengenai tanggungjawab mereka di masa hadapan. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here