KAJANG – Pelajar lelaki tingkatan 1 yang cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 5 bangunan sekolahnya di Kajang semalam telah meninggal dunia di Hospital Kajang jam 2.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bedah siasat yang dijalankan ke atas pelajar itu pada 2.30 petang tadi mendapati punca kematian disebabkan ‘kecederaan jatuh dari tempat yang tinggi’.
“Berikutan perkembangan terbaharu kes ini, polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini dengan lebih terperinci,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.
Setakat ini seramai lapan saksi telah dipanggil polis bagi merakam percakapan.
Katanya lagi, buat masa ini polis mengklasifikasikan kes sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Siasatan sedang diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor bagi membantu siasatan,” ujar beliau.
Semalam, kira-kira jam 5.50 petang polis telah menerima panggilan berupa maklumat tentang pelajar sekolah dijumpai dalam keadaan cedera dipercayai terjatuh dari tingkat 3 bangunan sekolah.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh polis mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 5 bangunan sekolah.
“Siasatan mendapati pelajar lelaki berumur 13 tahun itu telah dikejarkan ke Hospital Kajang dan dirawat dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala dan anggota badannya.- MalaysiaGazette