JPJ KL terlibat dalam pelaksanaan sekatan jalan di ibu kota mengesan kesalahan kenderaan termasuk motosikal di jalan raya semalam. foto kredit JPJ KL

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal bertindak agresif untuk meloloskan diri daripada sekatan jalan raya yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) semalam.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, individu tersebut dipercayai melakukan kesalahan jalan raya dan cuba melepaskan diri daripada diperiksa oleh anggota JPJ dalam sekatan jalan tersebut.

“Penunggang motosikal itu dipercayai cuba melarikan diri dengan melepasi sekatan jalan dilakukan, namun tindakan berbahaya itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada anggota JPJ yang sedang bertugas semasa kejadian itu,” katanya pada pagi hari ini.

Meskipun begitu, tindakan penunggang motosikal itu sangat berbahaya dan boleh memberi kemudaratan kepada anggota JPJ bertugas serta pengguna jalan raya yang lain, malah kepada penunggang itu sendiri.

“Oleh demikian, saya ingin tegaskan agar janganlah ada pihak pengguna jalan raya bertindak keterlaluan di atas jalan raya sehingga boleh mengakibatkan kemudaratan kepada diri dan orang lain.

“Kalau lakukan kesalahan, terima sahaja hukuman atau denda yang dikenakan dalam sekatan jalan raya tetapi jangan bertindak agesif cuba lolos diri dan sebagainya sampai boleh mengundang bahaya akibat perbuatan melulu itu,” ujar beliau.

Mengenai Ops Hari Raya Aidil Adha (HRAA) 2024, Mohd Zaki menegaskan, selain memeriksa semua jenis kenderaan, pihaknya turut memberi tumpuan ke atas kesalahan yang dilakukan oleh pemandu warga asing.

Kata beliau, kebanyakan pemandu warga asing yang diperiksa tidak mempunyai lesen memandu yang sah, lori dipandu mempunyai masalah teknikal serta tiada lesen memandu kenderaan barangan (GDL).

“Sehingga Jumaat ini (semalam) sebanyak 86,076 buah kenderaan telah diperiksa oleh angota JPJ bersempena penguatkuasaan Ops HRAA.

“Dalam operasi khas Hari Raya Aidil Adha tersebut, JPJ mengeluarkan notis saman berjumlah 10,924 di atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 288 kenderaan pelbagai jenis telah diambil tindakan sitaan atas faktor tidak selamat berada atas jalan,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here