Anwar Ibrahim.

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin penurunan tarif elektrik sebanyak satu sen/kWj akan membawa kesan kepada kejatuhan harga barang.

Menurutnya, meskipun penyasaran subsidi menjadi bahan kecaman namun pihaknya tahu  tindakan tersebut tidak menjejaskan kepentingan majoriti rakyat.

“Seperti mana tarif elektrik yang kita umumkan dulu, ia dapat menjimatkan antara RM4.5 hingga RM4.6 billion selepas subsidi bagi kategori terkaya dan warga asing mencecah 3.8 juta yang dapat manfaat itu ditarik balik.

“Mengapa kita harus fikir untuk membela penyeludup dan warga asing yang tak bayar cukai? Bukan saya cakap besar tapi kita sedang pantau..apakah penurunan kadar elektrik bagi domestik akan membawa kesan penurunan harga barang,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Terdahulu Anwar mengadakan mesyuarat dengan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di Hotel The Light di sini.

Media terdahulu melaporkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2024.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memaklumkan, bagi tempoh sama, pengguna-pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 1 sen/kWj.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh sama.

Secara keseluruhan, tambahnya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh Julai hingga Disember 2024 yang akan dibiayai oleh kerajaan kali ini adalah sebanyak RM2.19 bilion.

“Melalui keputusan ini, kerajaan komited memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada kenaikan tarif elektrik hingga hujung tahun ini

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here