MELAKA – “Sudahlah kawasan parkir di sini terhad, tempat yang ada ‘dicuri’ pula ‘besi buruk’ lebih 10 kenderaan peniaga yang pentingkan diri sendiri,”.
Itu kekecewaan diluahkan pengunjung dan peniaga kawasan ikonik pelancongan negeri, Menara Taming Sari, Jalan Merdeka, Banda Hilir di sini mengenai lebih 10 kenderaan peniaga pasar malam yang terbiar di situ sejak lebih enam bulan lalu.
Peniaga restoran yang enggan dikenali berkata, beliau kerap menerima aduan daripada pelanggan yang sukar mendapatkan parkir di kawasan berkenaan sehingga mereka terpaksa membatalkan niat ke lokasi utama pelancongan itu.
“Bukan sekali dua, bahkan dah berpuluh aduan negatif ini diterima peniaga daripada pelanggan namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana dilakukan peniaga pasar malam itu sendiri.
“Mereka menjadikan kereta buruk itu sebagai stor menyimpan khemah, meja dan alatan lain untuk berniaga setiap hujung minggu bermula pukul 6 petang hingga 2 pagi.
“Keadaan ini berlarutan kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan sekadar mengenakan kompaun tanpa menunda untuk mengalihkan ‘besi buruk’ itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di kawasan itu mendapati, lebih 10 buah kenderaan tersadai yang boleh dikategorikan ‘besi buruk’ kerana cat yang lekang, tayar pancit selain lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.
Malah, terdapat juga kereta yang sudah rosak akibat cermin hadapan dan belakang pecah selain notis kompaun sudah lusuh di kawasan yang mempunyai 210 petak parkir di kiri, kanan dan ruang tengah jalan itu.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali Rosdi berkata, kawasan yang menjadi laluan beca membawa ribuan pelancong dari dalam dan luar negara itu juga mencacatkan imej negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Kawasan Menara Taming Sari di tengah-tengah pusat bandar ini adalah lokasi wajib tumpuan pelancong kerana menjadi laluan utama pengayuh beca tapi sayangnya ia dicemari dengan pemandangan ‘besi buruk’.
“Kerajaan negeri sudah berhabis jutaan ringgit untuk mempromosikan TMM2024 jadi tidak seharusnya perkara sebegini dibiarkan berlarutan tanpa tindakan pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette
Sudah sampai masa pihak berkuasa tempatan mengambil langkah yg lebih drastik menghapuskan kereta lama (besi buruk) di tambah lagi dgn lambakan kereta recon..yg akan menjadi simpanan rakyat malaysia