Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program Perasmian Karnival Tekun Madani di Dewan SP Arena Seberang Jaya, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

SEBERANG JAYA – “Saya tak turun kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bukan sebab elak isu diesel tapi beri fokus dalam membangunkan ekonomi negara.

Ini kerana saya ingat tak apalah, serah anak-anak buah..ada Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM 1) dan kawan kawan buatlah kerja saya tumpu masalah ekonomi, masalah bangunkan rakyat tanpa ambil gaji,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun begitu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, hampir setiap malam pihak lawan mencercanya dalam kempen mereka.

“Kalau dengar (kempen) di Sungai Bakap, pihak lawan maki berbakul-bakul tapi saya pesan kepada kawan-kawan (jentera parti) kita tak payah lawan maki.

“Saya cakap garang sikit sebab ini Permatang Pauh, saya tak bertanding di Sungai Bakap atau pergi sana.. hari tu cuma balik dari Kerian, Perak saya singgah minum kopi dan kemudian terus balik,” katanya ketika berucap pada Karnival Tekun Madani di SP Arena di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau juga mengadakan perjumpaan dengan Tan Sri Khalid Ramli bagi membincangkan soal pembangunan projek bumiputera Pulau Pinang.

Khalid adalah Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

“Petang ini pun saya ada perjumpaan demi pembangunan rakyat.. Saya fikir terus kerja tak pergi Sungai Bakap.. jadi saya minta kawan-kawan faham,” katanya.

Sebuah portal tempatan sebelum ini melaporkan penganalisis politik menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak turun berkempen pada PRK Sungai Bakap langkah tepat memandangkan beliau kurang popular di lapangan dan dinamik tempatan pilihan raya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here