perkhemahan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menerima berita kematian Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Syed Husin Ali awal pagi tadi dengan hati yang berat dan sedih.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketika hayatnya, Syed Husin sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segalanya.

Malah, beliau juga merupakan seorang patriot dan menjadi teladan unggul kerana sikapnya yang tidak mementingkan diri, katanya.

“Pas percaya perasaan sama turut dikongsi oleh banyak pihak lain atas jasa, sumbangan dan perbadi mulia beliau sepanjang hayatnya baik sebagai ahli akademik, pemikir, aktivis sosial, ahli politik, penulis mahupun sebagai seorang kawan.

“Pas merakamkan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sanak saudara Almarhum atas pemergian ini. Semoga mereka menemui ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

“Semoga Allah SWT mengampuni, merahmati dan menerima Almarhum dalam kalangan hambaNya yang soleh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Syed Husin meninggal dunia di Hospital Selayang, awal pagi tadi pada usia 87 tahun.

Berita duka mengenai pemergian Allahyarham, dikongsi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi akaun media sosialnya.

“Saya baru terima perkhabaran sedih yang Dr Syed Husin Ali, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Keadilan, telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.

“Saya telah menziarah Allahyarham di Hospital Selayang pada Khamis lepas. Allahyarham telah dimasukkan ke hospital pada Hari Raya Haji kedua lalu,’’ katanya.

Jenazah Syed Husin disolatkan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kota Damansara. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here