PUTRAJAYA – Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2024.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memaklumkan, bagi tempoh sama, pengguna-pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 1 sen/kWj.
Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh sama.
Secara keseluruhan, tambahnya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh Julai hingga Disember 2024 yang akan dibiayai oleh kerajaan kali ini adalah sebanyak RM2.19 bilion.
“Melalui keputusan ini, kerajaan komited memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar,” demikian menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu, kerajaan berharap penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori pengguna-pengguna komersial dan industri dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran.
Di samping itu, jelasnya, keputusan tersebut juga diharap dapat menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara.
“Kementerian percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi kerajaan.
“Peruntukan tersebut akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, kerajaan berharap pemberian subsidi elektrik ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan.- MalaysiaGazzete