KUALA LUMPUR – Pelakon, Nora Danish tampil memberi penjelasan berkenaan gambarnya memakai tudung yang mencuri perhatian baru-baru ini.

Nora Mohd. Danish Hanif, 42, berkata beliau mengenakan hijab untuk memudahkannya menunaikan solat dan membaca Al-Quran semasa berada di hospital menemani bekas suaminya, Nedim.

“Seperti yang anda tahu Nedim sekarang berada di hospital dalam fasa pemulihan Nora tidak boleh kongsikan sakit Nedim sebab ia agak privasi untuk keluarga mereka.

“Kalau saya menjaganya di hospital Nora memakai pakaian yang senang untuk solat dan dalam masa yang sama Nora mengaji jadi lebih senang memakai pakaian yang menutup aurat jadi di samping itu Nora berterima kasih kepada semua yang tidak henti-henti mendoakan Nora, Nora hargai saya harap doa anda semua, ibu dan doa saya dimakbulkan,” katanya menerusi video di media social.

Baru-baru ini dilaporkan bekas suami pelakon itu, Nedim Nazri dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu pelakon sitkom Puteri itu menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sedang mencari suami yang beriman dan boleh membawanya ke syurga seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Meskipun terkejut dengan artikel tersebut Nora tidak melatah sebaliknya menjelaskan bahawa berita itu disiarkan berdasarkan Instagram (IG) Reels yang dikongsikannya semula (Repost) daripada akaun lain.

Justeru itu katanya, tidak adil untuk mendakwa ia merupakan kenyataan yang keluar daripada mulutnya sendiri.

Mengulas lanjut, Nora menegaskan buat masa ini beliau tidak mencari pengganti selepas baru bercerai 19 Jun lalu.

“Nora nampak artikel dalam satu surat khabar kata saya cari suami yang beriman dan boleh bawa ke jannah saya terkejut bila saya bagi kenyataan begitu tidak wajarlah kenyataan itu dikeluarkan sebab saya baru sahaja bercerai masih dalam idah bekas suami saya tengah sakit di hospital. Jadi kenyataan itu tidak wajar, tidak adil dan akan menimbulkan banyak kesedihan sesetengah pihak.

“Bagi saya pula mencari pasangan yang soleh dan solehah adalah idaman semua orang, semua orang inginkan suami dan isteri yang boleh membawa ke jannah bukan yang kita cari kemudian ia kemestian jadi janganlah buat artikel begitu tidak baik sebab saya pun masih dalam proses idah, tidak saya tidak mahu mencari suami dalam masa terdekat atau itu perkara terakhir saya fikirkan.

“Perceraian saya pun bukan kerana saya ingin mengahwini orang lain, jauh sekali saya tidak mahu fikir perkara itu dan saya tidak mahu fikir begitu, saya nak kita doa yang baik-baik kepada semua orang,” jelasnya.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki Mohamed Neqayl berusia enam tahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here