Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ketika sesi sidang media berkenaan kenyataan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, Simpang, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 JUN 2024.

TAIPING – Memberi laluan untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) disifatkan sebagai membuang masa sekiranya enam kerusi parlimen yang disandang oleh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini diisytiharkan kosong.

Enam kerusi berkenaan adalah Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, tindakan itu juga sebagai tidak munasabah dan membazir kerana ia melibatkan perbelanjaan dana negara yang tinggi.

Katanya, sekiranya keenam-enam kerusi berkenaan dimenangi parti pembangkang sekalipun, ia tidak memberi apa-apa kesan kerana masih belum mencukupi bilangan majoriti di Dewan Rakyat.

“Selepas tidak cukup bilangan majoriti, maka kena cari kerusi lain pula (untuk cukupkan jumlah majoriti di Dewan Rakyat). Maka, permainan politik ini tidak akan berakhir.

“Parti kerajaan pula terpaksa nak jaga dan kepong sana sini (untuk memastikan kestabilan politik), dan akhirnya tidak dapat beri tumpuan kepada usaha pembangunan.

“Yang susahnya rakyat, dan oleh sebab itu ia hanya membuang masa. Tunggu sahaja, dan lagi beberapa tahun untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16). Ketika itu kita lihat gelombang mana pula (yang akan menang),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di pusat khidmatnya, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin memberitahu dia bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang sekiranya PRK terpaksa diadakan.

Namun, beliau tidak mengulas lanjut kedudukannya sama ada sebagai wakil rakyat bebas atau menyertai mana-mana parti susulan keahliannya dalam Bersatu terhenti serta-merta sebelum ini.

“Saya tidak mahu bermain politik, tetapi saya akan mempertahankan hak saya (sebagai ahli parlimen) berdasarkan kepada Perlembagaan, dan ia termasuk sekiranya perkara ini dibawa ke mahkamah,” katanya lagi.

Ditanya sama ada beliau akan merujuk semula kepada Bersatu untuk menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi, Syed Abu Hussin menyifatkan ia tidak perlu.

“Nama saya telah pun dikeluarkan daripada parti, bermakna saya telah dipecat. Jadi kalau dah dipecat, nak rujuk buat apa lagi?

“Dan mereka pun tak pernah panggil saya untuk runding, atau bagi pandangan, adakan sesi pertemuan dan sebagainya, tak ada. Perkara penting ketika ini bagi saya ialah untuk beri khidmat kepada rakyat,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan telah menerima notis daripada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen daripada parti berkenaan.

Selain Syed Abu Hussin mereka yang lain adalah, Datuk Suhaili Abdul Rahman di kerusi Parlimen Labuan,, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK di DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here