Pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim membuat kemunculan kali pertama selepas menjadi mangsa simbahan asid pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim dijangka mula turun padang dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, jangkaan itu dibuat berdasarkan perkembangan positif proses pemulihan akibat insiden simbahan asid terhadap Faisal.

Bagaimanapun penyerang prolifik negara itu tidak akan dibenarkan bermain bola, sebaliknya hanya akan menjalani latihan ringan

“Mungkin dua atau tiga minggu lagi akan mula berada di padang, melakukan latihan ringan, bukan bermain bola.

“Tahap kecergasannya sekarang di bawah dan rendah, seperti pra musim kerana dua bulan tidak bermain bola langsung, tiada aktiviti fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melawat Kompleks 3k, di Seksyen 13, Subang Jaya, pagi ini.

Johan berkata, pihaknya akan berhati-hati dalam latihan kepada Faizal kerana tidak mahu pemain berkenaan terdedah kepada kecederaan semasa latihan.

“Pada peringkat permulaan, kita tidak mahu tergesa-gesa kerana takut akan menyebabkan kecederaan lain pula.

“Walaupun kita tahu dia seorang yang kuat tetapi kita tidak boleh mendedahkannya kepada kecederaan yang tidak sepatutnya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Pada 5 Mei lalu negara digemparkan dengan insiden Faisal disimbah asid oleh dua lelaki.

Tular video berdurasi 56 saat yang tular di media sosial memperlihatkan seorang lelaki berbaju hitam dan bertopi sedang menunggu di belakang sebuah kereta hitam sambil memerhatikan Faisal sedang berjalan ke arah keretanya.

Selepas 10 saat kemudian, ketika Faisal ingin membuka pintu kereta, lelaki yang memakai baju hitam berkenaan segera menyimbah asid terhadapnya berkali-kali.

Suspek kemudiannya melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang sedang menunggu bersama motosikal tidak jauh dari lokasi kejadian.

Faisal dibenarkan keluar dari hospital selepas 20 hari menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kemunculan pertama beliau dalam masyarakat umum pada 12 Jun mengundang simpati.

Ini kerana kesan melecur daripada bekas simbahan asid jelas kelihatan di bahagian muka dan lengan Faisal yang dinobatkan sebagai penjaring tercantik dalam Piala Asia di Qatar.

Sehingga kini pelaku jenayah tersebut masih lagi bebas. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here