Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing bercakap pada media selepas melawat mangsa-mangsa kemalangan bas persiaran yang terbalik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Foto SYADILA AMARI, 30 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) akan menggantung sementara lesen agensi pelancongan yang terbabit dalam nahas bas terbalik di Genting Highlands yang mengorbankan dua pelancong warga China.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan penuh dan tindakan tersebut akan dikenakan sekiranya syarikat terbabit terlibat.

“Saya telah mengarahkan pihak kementerian menjalankan siasatan penuh terhadap agensi pelancongan itu sekiranya mereka mempunyai subline (pihak ketiga).

“Saya juga menerima aduan dari mangsa bas terbabit tidak berapa sesuai. Mereka (pelancong) datang ke sini enam hari lima malam dan bas telah ditukar sebanyak tiga kali.

“Keadaan itu membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik termasuklah tiada pendingin hawa dan ada berbunyi bising.

“Itulah sebab saya beritahu semua syarikat pelancongan supaya bersedia menerima pelancong daripada luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa kemalangan bas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yuging, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, MOTAC akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Kementerian Pengangkutan pada 2 Julai ini, bagi membincangkan isu keselamatan pengangkutan pelancongan di negara ini.

“Mesyuarat ini akan diadakan bersama MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai prosedur operasi standard (SOP) membabitkan syarikat pelancongan dan bas persiaran.

“Saya sudah mengarahkan kementerian untuk segerakan laporan pendek bermula esok, selepas siasatan penuh dikeluarkan dan mendapati ada kesalahan maka kami akan membatalkan terus lesen syarikat pelancongan itu.

“Ingin saya tegaskan, syarikat pelancongan perlu pastikan keselamatan pelancong mereka selamat sepanjang percutian dan jangan perjudikan (ambil mudah) nyawa mereka hanya ingjn mengejar untung dalam bisnes,” ujarnya dengan tegas.

Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf kepada semua mangsa nahas tragedi terbabit dan berharap kejadian sama tidak berulang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here