Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin bercakap pada media berkenaan sesi Pengumuman Iltizam (manifesto) bersama penduduk tempatan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Taman Tasek Indah Simpang Ampat, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Datuk Mohamad Abdul Hamid optimis undi ahli UMNO akan kembali kepada calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin pada 6 Julai ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang berkata, berdasarkan culaan pihaknya mendapati respon pengundi UMNO positif dan ia menandakan mereka akan kembali menyokong PH iaitu komponen dalam Perpaduan.

“Keadaan sekarang kita nampak positif dengan gerak kerja yang dilancarkan bersama-sama dengan Barisan Nasional dan juga UMNO di lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“InsyaAllah kita nampak akan beroleh kejayaan pada 6 Julai ini,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan akan berlaku peralihan undi ahli UMNO bagi PRK Sungai Bakap.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, jentera Perpaduan akan meneruskan program menyantuni pengundi termasuk ceramah dalam tempoh baki kempen.

“Dalam tempoh (kempen) berbaki beberapa hari lagi kita akan teruskan kerja siang dan malam termasuk mengadakan ceramah kelompok,” katanya.

MalaysiaGazette pada 27 Jun lalu melaporkan Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yakin pengundi dalam kalangan ahli UMNO akan mengekalkan gelombang peralihan undi kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Abang Abidin berkata, pergerakan gelombang itu dapat dilihat selain ada yang memberi keyakinan masih menyokong PN. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here