Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyib

KUALA LUMPUR – Sheikh Al-Azhar Al-Imam Akbar Sheikh Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyib, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula 2 Julai hingga 5 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Ahmed Mohammed berada di Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lawatan rasmi ini sudah tentu akan memberi makna besar kepada usaha-usaha pengukuhan perpaduan umat Islam selain memperkukuh keakraban hubungan antara Malaysia dan Mesir.

“Pada masa sama, kehadiran Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Akbar Sheikh Prof. Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyib nanti akan memantapkan usaha-usaha pembangunan Islam di Malaysia khususnya pendidikan Islam dan tahfiz,” kata Mohd. Na’im.

​Selain mengadakan pertemuan dengan Anwar, Ahmed Mohammed akan mengadakan lawatan dan Bicara Eksekutif MADANI di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Beliau juga akan menghadiri Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya serta mengadakan pertemuan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin bahawa lawatan rasmi ini akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara.

“Semoga segala perancangan yang disusun ini akan berjalan dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan.

Mohammad Ahmad Tayyib adalah ilmuwan dan mewarisi keilmuan daripada Al-Allamah Al-Wali Sheikh al-Akbar Prof Dr Abdul Halim Mahmud yang juga pakar dalam Ilmu Usuluddin terutama Ilmu Tasawuf dalam mengekalkan legasi keilmuwan Manhaj Al-Azhar masa kini.

Beliau mengkaji ribuan kitab sehingga meletakkannya status Sheikh Al-Azhar.

Sheikh Al-Azhar atau Imam Besar Al-Azhar adalah jawatan ulama Islam Ahli Sunah Waljamaah yang sangat dihormati. Ia jawatan yang terpenting di Mesir khususnya dan dunia secara amnya.

Sheikh Al-Azhar kedudukan yang tertinggi dan terpenting. Ia kedudukan berkarismatik yang mempunyai beberapa lapisan darjah kredibiliti keilmuan untuk dilewati kerana memiliki autoriti muktabar.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here