Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ketika sesi sidang media berkenaan kenyataan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, Simpang, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 JUN 2024.

TAIPING – Enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar surat penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul susulan notis meminta pengosongan kerusi daripada parti itu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, surat penjelasan daripada kesemua wakil rakyat yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah diserahkan pada Khamis lalu.

Beliau yang juga mewakili kesemua ahli parlimen berkenaan berkata, surat berkenaan itu dihantar bagi memberi gambaran terhadap situasi sebenar berdasarkan kepada Perlembagaan.

“Dalam surat yang tebal saya jelaskan kepada Speaker bahawa keperluan untuk mengosongkan kerusi tertakluk kepada tiga perkara di bawah Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ketiga-tiga perkara itu (untuk kekosongan kerusi parlimen) berlaku atas tindakan diri (seseorang ahli parlimen), dan bukan pihak ketiga,” katanya pada sidang media di pusat khidmatnya, di sini, pada Ahad.

Menurut Syed Abu Hussin, berdasarkan kepada Perlembagaan berhubung antilompat parti, kerusi seseorang ahli parlimen menjadi kosong sekiranya ahli parlimen itu melepaskan keanggotaan parti, tidak lagi menjadi anggota parti atau menyertai satu parti politik lain.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan Bersatu mengemukakan notis pengosongan enam kerusi parlimen dan notis menghentikan keahlian serta merta seolah-olah mahu memerangkap mereka.

“Kita boleh lihat perangkap dibuat yang pertama adalah pindaan perlembagaan parti. Setelah pindaan dibuat, ia tidak boleh retrospektif atau patah balik belakang, maka dia buat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Kita minta penjelasan kesahihan MPT itu, kita tanya bila MPT bersidang? Siapa ahli? apa kelayakan MPT?

“Dia tak bagi jawapan kepada soalan yang kita tanya dalam surat balasan. Jadi ada benda yang tak kena dalam parti,” dakwanya.

Pada 20 Jun, Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dilaporkan telah menyerahkan notis pemakluman pengosongan enam kerusi parlimen di bawah di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan kepada pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Notis itu membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan.

Speaker Dewan Rakyat, Johari kemudian mengesahkan telah menerima notis berkenaan dan meminta tempoh 21 hari untuk mengkaji notis berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here