Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – ‘Langkah Muar’ yang dimulakan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sejak Jumaat lalu kini berbaki 80 kilometer.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memulakan larian dari Muar, Johor telah merentasi jarak sejauh 120km.

Larian itu sebagai usaha untuk mendesak kerajaan memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang seperti yang diterima oleh ahli Parlimen kerajaan iaitu RM4 juta setahun atau RM20 juta satu penggal.

“Lebih kurang 80km lagi sebelum saya sampai di Parlimen. Hari ini akan jadi lebih mencabar dari sebelum ini. Perjalanan yang lebih jauh. Dah tak rasa kaki,” katanya melalui media sosial pagi ini.

Setakat semalam jumlah sumbangan terkumpul bagi ‘Langkah Muar’ kini telah mencecah RM74,970.

Larian itu juga bagi mengutip dana RM100,000 dana bagi Pusat Khidmat Muar diperlukan demi ia dapat kekal beroperasi sekaligus membantu rakyat yang memerlukan.

Perkembangan terkini bekas Menteri Belia dan Sukan itu telah berada di Seremban, Negeri Sembilan.

Langkah Muar

Beliau memulakan larian sejauh 200km pada Jumaat bermula Jambatan Sultan Ibrahim Muar ke Telok Mas sejauh 39 kilometer (km) dan menyambung larian pada pukul 5 petang dari Telok Mas ke Alor Gajah, Melaka sejauh 34 km.

Pada Sabtu Syed Saddiq menyambung larian dari Alor Gajah ke Rembau, Negeri Sembilan kira-kira 30 km bermula pada pukul 6.30 pagi dan menyambung larian ke Seremban, Negeri Sembilan sejauh 23.5 km pada pukul 5 petang.

Mengikut jadual, Syed Saddiq akan memulakan larian hari ini dari Seremban ke Semenyih, Selangor sejauh 39 kilometer bermula 6.30 pagi dan menyabung larian ke Tun Hussien Onn, Kuala Lumpur sejauh 20 kilometer pada pukul 5 petang.

Ahli Parlimen Muar itu akan meneruskan larian sejauh 20 kilometer pada Isnin bermula pukul 6.30 pagi dan dijadual sampai di Parlimen pukul 9 pagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here