Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof

AYER KEROH – Pembatalan kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion pada 6 Disember 2022 menyebabkan insiden banjir kilat khususnya di beberapa kawasan titik panas di Melaka masih berulang dan merunsingkan rakyat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, Kerajaan Perpaduan berhasrat meneruskan projek tebatan banjir yang telah diluluskan oleh pentadbiran sebelum ini, namun ia sekadar “indah khabar dari rupa”.

“Saya nak tanya kerajaan negeri, apakah penyelesaian paling konkrit dalam menangani isu banjir kilat ini?

“Apakah ini harga yang perlu dibayar oleh rakyat di Melaka apabila pihak kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa kawasan di Melaka termasuk Kampung Sungai Putat dan Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh dilanda banjir pada 28 Jun lalu hingga menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air.

Menurut Dr Aleef, tindakan melengah-lengahkan projek tebatan banjir di Melaka menunjukkan betapa lemahnya kerajaan negeri dan kepimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya berasa terkilan dan sedih melihat keadaan malang yang dihadapi oleh rakyat, saban Waktu hujan lebat melanda negeri kita.

“Apakah sebenarnya berlaku di negeri kita ini? Apakah pihak kerajaan negeri benar-benar menangani isu banjir ini?

“Insiden banjir kilat yang berulang ini mencerminkan kelemahan dan kegagalan pihak kerajaan negeri dalam menangani isu banjir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here