AMPANG – Keluarga wartawan hiburan, Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih terkenal dengan gelaran Huzz yang meninggal dunia baru-baru ini menerima faedah pencen.
Pengarah Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngosman berkata, Huzz merupakan seorang pencarum berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang membolehkan ibunya menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat bawah Skim Keilatan.
“Semakan mendapati arwah Huzz pernah memohon tuntutan Pencen Ilat di bawah Skim Keilatan Akta 4 pada 27 Mei lalu namun tidak sempat diproses.
“Bagaimanapun, rekod caruman yang dibuat tidak sia-sia apabila ibu allahyarham, Noor Hamid layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 yang diberi secara sekaligus.
“Selain itu, ibunya juga akan menerima pencen penakat sebanyak RM1,027 setiap bulan yang akan dibayar sehingga ke akhir hayat,” katanya di sini hari ini.
Keluarga arwah merupakan antara penerima terawal yang mendapat peningkatan jumlah bayaran FPM daripada RM2,000 hingga RM3,000 selepas penguatkuasaan pindaan itu pada 1 Jun lepas.
Dalam pada itu, Mohamad Asri meminta mereka terutamanya golongan artis dan penggiat artis tanah air untuk membuat caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan sendiri.
“Ini secara tidak langsung akan melindungi khususnya orang yang bekerja sendiri daripada kejadian yang tidak diingini semasa bekerja seperti ditimpa kemalangan atau dijangkiti penyakit.
“Justeru itu, kami ingin menyeru orang ramai untuk membuat caruman sebagai persiapan apabila ditimpa kemalangan atau musibah pada masa akan datang,” tambahnya.
Sebelum ini, Allahyarham Huzz dilaporkan telah menerima rawatan di Unit Onkologi, Hospital Kuala Lumpur sejak Mac tahun ini dan telah disahkan menghidap kanser usus tahap empat.
Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di kediaman abangnya di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 8 Jun lalu. – MalaysiaGazette