Arthur (dua dari kiri) menyampaikan bakul bantuan bencana agromakanan (Semai Madani) kepada penerima selepas Program Libat Urus Bersama Warga Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Melaka di Telok Mas, Melaka hari ini.

MELAKA – Kerajaan sedang mengkaji sama ada memberikan pampasan atau bantuan kepada pengusaha kupang di Sebatu, Jasin di sini yang mengalami kerugian ekoran penguatkuasaan larangan penjualan makanan laut itu sejak April lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, cadangan itu susulan analisis sampel air dan kupang mendapati ia masih dicemari biotoksin berbahaya dan tidak selamat untuk pengguna.

“Kita perlu pentingkan kesihatan pengguna namun pada masa sama kita berusaha untuk membantu pengusaha kupang yang terkesan ekoran larangan ini.

“Ini termasuklah melihat (penggunaan) tabung-tabung bencana (di bawah KPKM) yang ada di mana kita boleh bantu untuk metigasikan (mengurangkan) kerugian.

“Ia sama ada bantuan itu ada yang secara in kind (tajaan) dan sebagainya kita akan kaji dan maklumkan apabila keputusan sudah dibuat,” katanya.

Arthur Joseph Kurup

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian dalam ucapan Program Libat Urus Bersama Warga Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Melaka di Telok Mas di sini hari ini.

MalaysiaGazette pada 11 Jun lalu melaporkan seramai 33 nelayan dan penternak kupang di Pengkalan Sebatu, mendakwa kerugian hampir RM2 juta kerana tidak dapat menjual ratusan ribu kilogram kupang sejak tiga bulan lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Jasin, Mohd Sah Hashim dilaporkan berkata, ia susulan tiada pengumuman rasmi daripada Jabatan Perikanan (DOF) Melaka untuk menarik balik larangan penjualan kupang berkuatkuasa 5 April lalu.

Arthur (tengah) menyampaikan sebahagian bantuan
bantuan dan insentif KPKM berjumlah RM4.73 juta kepada kumpulan sasar untuk lebih proaktif dalam merancakkan indusri pertanian dan agromakanan negara

Keputusan itu dibuat selepas jabatan itu menemui alga spesies Alexandrium yang berbahaya kepada kesihatan manusia pada sampel air dan kupang di Sebatu.

Sebelum itu pada 2 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat satu kejadian keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang yang membabitkan lapan kes di Port Dickson.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, kerajaan akan sentiasa mengikuti perkembangan terhadap bacaan toksin sebelum memastikan kupang tidak dicemari biotoksin dan selamat untuk dimakan.

“Sekiranya ia selamat (dimakan) kita akan ubah dasar (larangan) itu dan pada masa cuba untuk bantu ringankan apa-apa kerugian yang mungkin dihadapi pengusaha,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here