Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid (tiga kanan) bertukar memorandum MAPIM dan Al Shattiby for Education and Support Association dalam melancarkan projek Janji Al Quran di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 1 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Al-Shatiby for Education and Support Association, hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Projek Janji al-Quran.

Projek Janji al-Quran ini bagi membangunkan kerohanian dalam kalangan kanak-kanak Gaza yang berdepan dengan perang ketika ini.

Program ini akan diadakan  pusat pemindahan di negara bergolak itu.

Perjanjian ini merupakan sokongan Mapim terhadap projek Al-Shatiby dengan menyasarkan lebih 300 pelajar dalam 20 kumpulan hafazan al-Quran yang dibimbing oleh 20 guru mahir.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata,  program tersebut dijalankan di tengah Semenanjung Gaza iaitu di Deir Al-Balah, Al-Nuseirat, Al-Burij, Al-Maghazi dan Al-Zawayda.

“Projek ini akan berlangsung selama tiga bulan dengan tiga hingga empat sesi mingguan. Matlamatnya untuk mendidik dan memberi nilai-nilai al-Quran dan kekuatan rohani kepada kanak-kanak berkenaan

“Di samping itu, kita juga mahu membantu guru-guru al-Quran di sana dengan memberi elaun kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas menandatangani MoU projek Janji Al-Quran di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek itu juga dapat memberi manfaat dengan mewujudkan persekitaran komuniti di pusat pemindahan di Gaza untuk perkembangan psikologi, rohani dan peribadi serta nilai moral kanak-kanak yang sedang berhadapan dengan kegawatan perang.

Sehubungan itu, Mohd Azmi mahu NGO di Malaysia yang berkaitan dengan penjagaan kanak-kanak untuk menunjukkan solidariti kepada golongan ini di  Gaza dengan menyokong projek tersebut.

Bagi mereka yang mahu menyalurkan sumbangan, boleh terus salurkan di akaun CIMB Mapimiaitu di akaun 8604 5566 78 dengan menuliskan deskripsi ‘Projek Janji al-Quran. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here