Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

PUTRAJAYA – Bas persiaran yang terbabas dalam nahas di Kilometer 16.5, Jalan Genting Highlands pada Sabtu lalu didapati  tempoh permitnya telah tamat pada 16 Februari lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke  turut mengesahkan had usia bas persiaran itu telah melebihi tempoh iaitu 15 tahun.

Susulan itu, beliau mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan paling tegas tehadap syarikat pengendali bas itu.

“Tindakan itu perlu kerana berlaku ketidakpatuhan undang-undang yang amat jelas sehingga menjejaskan imej negara selain mengakibatkan kematian dua nyawa pelancong asing.

“Kita ambil tindakan bukan sahaja terhadap permit yang ada dalam syarikat ini tetapi peringkat kementerian melalui Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) juga.

“Kita bercadang untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang jarang kita ‘invoke’ (mohon pendakwaan menggunakan) seksyen ini,” tegasnya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengikut Seksyen 42(2) tersebut, seseorang pemegang lesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat dikenakan pada lesen di bawah seksyen itu telah melakukan suatu kesalahan dan boleh disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Anthony memaklumkan, pihaknya akan menyiasat semua aspek dalam kejadian itu termasuk dakwaan mengatakan bas tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Mengulas mengenai mesyuarat khas bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) esok, beliau berkata, beberapa perincian termasuk penambah baikan prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan akan dibincangkan.

“SOP kita ketat cuma isu ketidakpatuhan dalam kes ini. Itu satu perkara yang kita amat kesal sekali bahawa pengendali tidak patuh syarat, kita ada SOP bukan tidak SOP.

“Ada syarat jelas, kena buat pemeriksaan kenderaan, perlu perbaharui permit, had usia kenderaan dan sebagainya tapi syarikat ini telah melanggar semua, itu menjadi masalah kita ada pengendali yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Anthony turut memaklumkan APAD telah mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) hari ini kepada syarikat bas persiaran tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian kemalangan itu.

Pada Sabtu lalu, bas persiaran yang membawa 21 penumpang, terbalik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands menuju ke Kuala Lumpur.

Pemandu bas yag tiada lesen itu telah terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands hingga meragut dua nyawa pelancong lelaki warga China. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here